HULU SELANGOR – Polis masih mengesan seorang lagi remaja daripada dua beradik dari Taman Bernam Jaya, di sini, yang dilaporkan hilang di Kuala Lumpur.
Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Superintendan Mohd Asri Mohd Yunus berkata, pihaknya dibantu polis Kuala Lumpur untuk mengesan remaja berusia 16 tahun itu.
“Usaha mengesan adiknya masih kita lakukan, sampai malam tadi pun Jabatan Siasatan Jenayah mengesan (petunjuk).
“Kita positif akan menemui remaja ini dalam masa terdekat berdasarkan risikan dan tangkapan yang kita buat,” katanya kepada pemberita di Maktab Polis DiRaja Malaysia (PDRM) Kuala Kubu Bharu, di sini, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan, seorang daripada dua beradik lelaki yang dilaporkan hilang di Taman Bernam Jaya, Hulu Bernam, Selangor pada 1 Januari lalu ditemukan dalam keadaan tidak bermaya di Stesen LRT Pasar Seni, Kuala Lumpur, 11 Januari lalu.
Semalam, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, pihaknya menerima laporan kejadian tersebut daripada seorang lelaki berusia 16 tahun, 12 Januari lalu.
Jelasnya, mangsa mendakwa dirinya dicabul dan diperlakukan perkara tidak senonoh oleh seorang individu di sebuah hotel di Jalan Petaling, Kuala Lumpur.
Mohd Asri berkata, pencarian pihaknya setakat semalam merangkumi kawasan sekitar Jalan Petaling termasuk sebuah pusat beli-belah berdekatan.
“Semalam cari dia di sekitar kawasan Jalan Petaling hingga ke Kota Raya, berdasarkan risikan terhadap suspek.
“Dia telah dipisahkan sehari sebelum IPD Dang Wangi membuat serbuan di hotel itu,” katanya. – MalaysiaGazette