Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 20 SEPTEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman lima tahun penjara dan denda RM90,000 keatas seorang bekas pembantu tadbir sebuah maktab.

Tertuduh, Nurul Faizan Ahmad Asri dituduh memperdagangkan bayi berusia 13 bulan dan memalsukan dokumen kelahiran, empat tahun lalu.

Hakim Mahkamah Sesyen, Azura Alwi dalam penghakimannya membenarkan tertuduh menangguhkan hukuman penjara itu sehingga kes rayuannya selesai di Mahkamah Tinggi.

Tetapi tertuduh perlu membayar denda sebanyak RM90,000 pada hari ini.

Ketika membacakan keputusan kes, Hakim Azura berkata, beliau berpuas hari kerana pembelaan telah gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah pada akhir kes.

Katanya, wujud pemindahan milikan antara ibu kandung bayi dan salah seorang saksi yang sekali gus membuktikan kes ini wujud di bawah Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.

“Mahkamah mendapati penafian semata-mata untuk pembelaan mendakwa pemindahan milik bayi hanya bertujuan membantu ibu kandungnya dan dakwaan pemindahan ini tidak babitkan sebarang wang ringgit adalah untuk tujuan penafian.

“Tertuduh juga menafikan tidak tahu isi kandungan sampul surat mengandungi dokumen palsu untuk mendaftar kelahiran bayi itu, ini juga adalah penafian semata-mata.

“Mahkamah mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes ini dan tertuduh didapati bersalah,” katanya secara ringkas.

Wanita itu didakwa memperdagangkan bayi lelaki itu melalui pemindahan milikan kanak-kanak itu dengan pertukaran wang ringgit di Hospital Taman Desa, Jalan Klang Lama sekitar 5 November 2020.

Kesalahan itu mengikut Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 yang boleh dihukum penjara minimum tiga tahun atau maksimum 20 tahun dan denda.

Tertuduh juga berdepan tuduhan memalsukan dokumen Borang Daftar Kelahiran Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) LM01 bersama lampiran atas nama bayi itu yang mana mempercayai dokumen palsu di JPN Kuala Lumpur yang mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara tujuh tahun dan denda. -MalaysiaGazette