Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Kamarudin Md Din bertukar sebagai Pengarah JKDNKA menggantikan Datuk Seri Hazani Ghazali. Foto FAREEZ FADZIL, 17 JULAI 2023.

KUALA LUMPUR – Dalang utama dan ahli satu sindiket pengedaran syabu terbesar di Sabah yang ditumpaskan polis baru-baru ini, akan dituduh di mahkamah dalam masa terdekat.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Kamarudin Md Din ketika mengesahkan perkara itu berkata, siasatan pihaknya ke atas sindiket terbabit sudah selesai dan sudah mendapat arahan untuk menuduh suspek.

“Usaha mengesan aset-aset lain berkaitan kes ini masih dijalankan untuk melengkapkan lagi siasatan kita.

“Kita sudah mendapat keputusan (arahan Pejabat Peguam Negara) dan suspek akan dituduh dalam masa terdekat,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras di sini, hari ini.

Terdahulu, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dalam satu sidang media pada 26 Disember lalu memaklumkan, JSJN Bukit Aman, menumpaskan satu kartel pengedaran dadah jenis syabu terbesar di Sabah, yang disyaki mula beroperasi sejak 2015.

Serbuan dilakukan pada pukul 2.45 pagi pada 25 Disember tahun lepas di sekitar Kota Kinabalu, Tawau dan Semporna itu hasil kerjasama antara JSJN Bukit Aman dan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).

Ayob Khan berkata, dalam serbuan itu polis menahan 10 lelaki, termasuk dalang utama sindiket pengedaran dadah berkenaan yang juga penaung sebuah badan bukan kerajaan (NGO) berusia 40 tahun bergelar ‘Datuk’.

Siasatan awal mendapati, sindiket ini memperoleh bekalan dadah dari negara jiran sejak 2015 dan menyeludup masuk bahan terlarang itu ke Sabah untuk pasaran sekitar negeri terbabit, selain turut diseludup ke Indonesia dan Filipina.

Semua suspek yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 130V Kanun Keseksaan (Kesalahan Jenayah Terancang) dan prosedur pula di bawah SOSMA.

Terbaharu, polis menahan seorang pegawai agensi penguat kuasa yang dipercayai ada kaitan dengan sindiket berkenaan.

Suspek berusia 43 tahun yang bertugas di Lembah Klang itu ditahan pada 29 Disember lalu dan menjadi individu kesebelas ditahan bagi membantu siasatan polis berhubung sindiket itu.

Menerusi operasi itu, polis menbekukan 22 akaun bank membabitkan bernilai RM420,000 selain menyita 18 kenderaan bernilai RM6.6 juta kebanyakannya kenderaan mewah; wang tunai RM35,000; barang kemas dan jam mewah dianggarkan RM100,000. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast