Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kos untuk seorang bakal haji Muassasah bagi 1445H/2024M meningkat sebanyak lapan peratus iaitu kepada RM33,300 berbanding RM30,850 pada tahun lalu.

Bagaimanapun, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman berkata Bantuan Kewangan Haji Bersasar kepada bakal haji Muassasah daripada kalangan B40 dan M40 akan diteruskan tahun ini.

TH dijangka mengeluarkan kos pembiayaan sebanyak RM350.1 juta, tahun ini.

“Sehubungan itu, kadar bayaran haji untuk seorang bakal haji Muassasah kumpulan B40 yang pertama kali menunaikan haji ditetapkan pada RM12,356 seorang.

Kadar ini telah mengambil kira keprihatinan Kerajaan Malaysia terhadap bakal haji kumpulan B40 di mana kerajaan akan menanggung sebanyak RM1,000 seorang.

“Bakal haji kumpulan B40 akan menerima Bantuan Kewangan Haji dan bantuan kerajaan berjumlah RM20,944 seorang atau bersamaan dengan 63 peratus daripada kos haji.

“Bayaran Haji bagi bakal haji Muassasah kumpulan M40 yang pertama kali menunaikan ibadat haji pula adalah RM19,152 seorang.

Bakal haji kumpulan M40 akan menerima Bantuan Kewangan Haji berjumlah RM14,148 seorang atau 42 peratus dari kos keseluruhan kos haji.

“Kumpulan T20 akan dikenakan bayaran penuh kos menunaikan haji iaitu sebanyak RM33,300 seorang,” katanya ketika sidang media ibu negara hari ini.

Terdahulu menurut beliau, seramai 31,600 jemaah layak menunaikan haji pada tahun ini.

Katanya, Surat Tawatan dan Bayaran Haji 1445H/2024M mula dikeluarkan hari ini.

Menurut beliau, daripada semua yang layak sebanyak 40 peratus daripada golongan B40, 58 peratus (M40) manakala 2 peratus dalam kalangan T20.

Mengulas lanjut Syed Hamadah berkata, TH mengutamakan bakal haji yang berbaki pada tahun lalu termasuk giliran asal bagi tahun ini.

“Jika ada penolakan maka ada kekosongan untuk mereka yang merayu jadi tidak ada kuota untuk yang merayu dari awal.

“Bagi bakal haji yang membuat rayuan luar giliran untuk menunaikan haji secara Muassasah, mereka perlu membayar penuh kos haji melainkan rayuan sebagai mahram kepada jemaah, rayuan sebagai pembantu kepada jemaah lanjut usia atau pembantu kepada jemaah kurang upaya yang telah terpilih menunaikan haji,” tambahnya.

Sebagai rekod, sejak 2001 Tabung Haji membelanjakan RM2.4 bilion bagi Bantuan Kewangan Haji.

Tahun lalu, seramai 500 orang jemaah menolak bantuan sama ada secara penuh atau sebahagiannya pada tahun lalu.

Sementara itu, Syed Hamadah berkata bakal haji yang menerima surat tawaran perlu member persetujuan menerusi aplikasi ThiJARI dan membuat pemeriksaan kesihatan.

“Bagi mereka yang tidak lulus pemeriksaan tidak dapat tunaikan kerana itu syarat wajib. Perlu ada tiga dos vaksin Covid-19, cukupkan wang sehingga sebelum 6 Febuari manakala kursus intensif akan bermula 9 Febuari,” katanya lagi.-MalaysiaGazette

 

1 Komen

  1. Lepas naikkan tambang bas sekolah, naik kan cukai, naikkan bil letrik, kelmarin naikkan tarif air…skrg naik kan plak tambang haji…segala2 korang naikkan sesuka hati kecuali gaji..terbaiklah kerajaan Madanon..ko tunggu PRU nanti

Comments are closed.