Oleh: Aidil Azhiim Bin Shamsuddin
BEBERAPA hari lepas kita dengar agak kecoh di platform media sosial berkenaan sesetengah pempengaruh yang mengatakan menyambung pelajaran selepas SPM adalah tidak penting.
Ada yang ada mendakwa rugi masa sambung belajar. Ada juga yang mendakwa sukar hendak mendapatkan pekerjaan selepas tamat pengajian di IPT.
Adakah benar begitu?
Pemilihan bidang yang luas peluang pekerjaan vs bidang yang diminati
Dilema pelajar lepasan SPM selepas keluar keputusan adalah bidang apa yang sesuai dengan keputusan mereka.
Ada sesetengah pelajar menyambung pengajian berdasarkan minat mereka semata- mata. Hal ini tidaklah salah sekiranya ilmu yang bakal mereka pelajari di pusat pengajian tinggi itu, mereka juga tidak tertinggal untuk belajar menjadi seorang usahawan job creator.
Namun sekiranya pelajar memilih untuk bekerja dengan majikan. Perkara yang sangat penting yang harus dititik beratkan adalah peluang pasaran kerja yang mereka akan pilih nanti, luas atau sempit?
Maka sangat penting untuk pelajar, ibubapa atau penjaga melihat apakah keperluan bidang pekerjaan yang sangat diperlukan oleh negara dalam tempoh tiga atau lima tahun kedepan.
Dimana nak rujuk bidang keperluan / pasaran kerja yang luas?
Dokumen yang boleh dirujukan antaranya adalah dengan melihat kepada buku Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP 2030).
Majlis Pelancaran Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP 2030) di Dewan Perdana, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Kuala Lumpur pada 1 September 2030 oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia ke 10.
Pelajar/ pembaca boleh rujuk di link ini https://www.nimp2030.gov.my/
Secara kesimpulannya berdasarkan dokumen tersebut bidang yang paling luas peluang pekerjaan yang diperlukan oleh Malaysia menjelang tahun 2030 adalah dalam bidang TVET.
Mengapakah bidang TVET sangat releven dengan bidang keperluan industri?
Untuk maklumat pelajar dan pembaca selain pihak Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) yang memantau sesuatu bidang yang ditawarkan oleh sesuatu institusi mencapai standard atau pun tidak, badan penilian yang membuat pengiktirafan sesuatu program yang di tawarkan oleh sesuatu program TVET di sesebuah institusi adalah Majlis Akreditasi Teknologi Kejuruteraan (ETAC).
Badan penilai ini akan memantau samada silibus kursus yang ditawarkan mencapai standard semasa yang diperlukan oleh industri.
Silibus yang diajar di sesebuah institusi perlu dibuat perubahan mengikut keperluan semasa iaitu 5 tahun sekali.
Berikut adalah link bagi menyemak senarai program terkini yang telah mendapat pengiktirafan dari pihak ETAC https://etac.org.my/
Institusi TVET yang ada di Malaysia
Untuk mengetahui institusi mana yang ada di malaysia, Pelajar / pembaca boleh rujuk di link ini https://www.tvet.gov.my/awam-agensi/index
Sebanyak 12 kementerian tidak termasuk institusi swasta menawarkan bidang TVET di Malaysia.
Menurut info di platform TVET Madani ini sebanyak 682 institusi awam menawarkan bidang TVET iaitu sebanyak 198 program Ijazah, 815 program diploma dan 2767 program sijil yang ditawarkan di institusi awam.
TVET manakah yang menawarkan yuran yang murah?
Ada beberapa institusi TVET yang menawarkan yuran pengajian yang murah, antaranya adalah Politeknik dan Kolej Komuniti.
Yuran pengajian di institusi ini adalah serendah RM200 bagi 1 semester. Yuran asrama di Politeknik juga antara yang murah iaitu sebanyak RM60 hingga RM630 bergantung kepada jenis asrama yang ditawarkan di sesebuah institusi Politeknik/ Kolej Komuniti.
Maklumat lanjut berkenaan Politeknik / Kolej Komuniti, para pelajar / pembaca boleh rujuk di link ini https://ambilan.mypolycc.edu.my/portalbpp2/index.asp
Kesimpulan
Untuk pelajar yang bakal menghadapi ujian bertulis SPM 2023, selamat maju jaya diucapkan, carilah kesempatan untuk melihat apa keperluan minimum keputusan yang diperlukan untuk anda menyambung pengajian di sesuatu bidang, sekurang – kurangnya pelajar ada sasaran yang tepat apa gred minimum yang diperlukan untuk menyambung pengajian di sesuatu bidang.
Sekiranya pelajar berminat menyambung pengajian ke Politeknik atau Kolej Komuniti boleh klik link di bawah untuk semakan kursus apa yang layak berdasarkan gred subjek yang diperolehi atau yang disasarkan.
https://ambilan.mypolycc.edu.my/esemak/index.asp
Penulis adalah Pensyarah Jabatan Kejuruteraan Elektrik, Politeknik Port Dickson.