Jawahar (duduk dua dari kanan) pada sidang media mengenai bantahan FOMEMA menaikkan yuran adakan pemeriksaan perubatan pekerja asing secara kerap di Pejabat Presma di Sentul hari ini.

KUALA LUMPUR – Beberapa persatuan pengusaha restoran membantah keputusan Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing (FOMEMA) yang menaikkan yuran dan kekerapan pemeriksaan kepada pekerja asing tanpa sebarang perbincangan terlebih dahulu.

Malah mereka mendesak supaya keputusan itu ditangguhkan dan perlu diadakan sesi dialog agar satu keputusan ‘menang-menang’  dicapai oleh semua pihak terlibat.

Presiden Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA), Datuk Jawahar Ali Taib Khan yang mewakili semua persatuan berkenaan berkata, persatuan hanya mengetahui tentang kenaikan yuran kesihatan setiap tahun untuk pekerja apabila melawati laman web FOMEMA.

“Soalan persatuan, apakah rasional di sebalik keputusan tersebut?

“Kami berasa terkilan kerana sehingga kini, tiada pengumuman rasmi daripada kerajaan berhubung kenaikan yang dibuat oleh Fomema, dan dikuatkuasakan mulai 16 Disember lalu,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Jawahar berkata, sebelum ini, pekerja asing perlu membuat pemeriksaan kesihatan sehingga tiga tahun secara berterusan dan tidak perlu melakukan sebarang pemeriksaan kesihatan sehingga tujuh tahun.

Katanya, keperluan untuk pemeriksaan kesihatan kemudiannya ditukar kepada setiap tahun berselang-seli yang bermaksud setahun diperlukan pemeriksaan kesihatan dan tahun yang berikutnya tidak perlu tetapi kini telah ditukar untuk melaksanakannya setiap tahun pula.

Tambah beliau, FOMEMA juga secara unilateral menaikkan yuran sebanyak 10 kepada 14 peratus dan ia melibatkan kira-kira dua juta pekerja asing.

Ini bermakna majikan perlu menanggung kos kira-kira RM414 juta setahun bagi pemeriksaan perubatan FOMEMA pekerja asing yang dimiliki mereka.

“Kami menggesa pihak yang berkaitan untuk mengadakan perbincangan atau konsultasi terlebih dahulu dengan pihak pemegang taruh sebelum membuat sebarang keputusan atau perubahan.

“Kami membantah dengan keputusan tersebut dan menyeru Fomema mengekalkan yuran dan kekerapan pemeriksaan kesihatan untuk pekerja asing seperti dahulu,” ujarnya.

Beliau menjelaskan, sebelum pengumuman kenaikan yuran pemeriksaan perubatan pekerja asing, caj oleh FOMEMA ialah RM190 bagi lelaki dan RM207 bagi pekerja asing wanita meliputi saringan HIV, Hepatitis B, sifilis, kehamilan dan termasuk penggunaan opiat dan kanabis.

Bagaimanapun kini, yuran dinaikkan kepada RM207 bagi lelaki dan RM217 bagi perempuan dan diperluaskan kepada tiga kategori baharu iaitu filariasis (cacing gelang), Hepatitis C dan methamphetamine.

“FOMEMA sering memberi keputusan ujian darah “gagal” apabila pekerja asing di dapati ada kelebihan gula dan juga darah tinggi.

“Kedua-dua kondisi ini bukanlah penyakit berjangkit dan boleh diubati.

“Kami difahamkan bahawa negara seperti UAE dan Singapura yang mempunyai ramai pekerja asing tidak mengamalkan perkara seperti ini.

“Kami juga ingin menyeru FOMEMA untuk mengkaji semula perkara ini. Ujian saringan kesihatan di kedua negara tersebut adalah dua tahun sekali,” ujarnya.

Tambahnya, satu salinan laporan ujian kesihatan juga perlu diberikan kepada majikan supaya majikan boleh menyimpannya untuk rujukan.

Pada masa kini, kata beliau, FOMEMA tidak memberikan sesalinan laporan ujian baik kepada pekerja atau para majikan.

“Ini tidak adil kerana majikan yang membayar kos ujian kesihatan tersebut,” katanya.

Ditanya sama ada terdapat usaha untuk mengadakan pertemuan dengan FOMEMA bagi mencari jalan penyelesaian, Jawahar memberitahu, ia telah diadakan banyak kali.

Namun, katanya, bantahan itu seolah-olah tidak dihiraukan hinggalah keputusan menaikkan yuran tersebut diputus sendiri oleh FOMEMA.

“Banyak kali dah kita buat pertemuan dengan mereka…tapi, macam itulah juga. Ibarat jumpa hanya sekadar untuk minum teh dan makan kuih,” katanya sinis. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast