Kajian dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 2015 tidak menyebut secara langsung sumbangan penjualan arak sebagai faktor tarikan pelancong ke Malaysia.

Oleh: Dr. Mohd. Shahid Mohd. Noh

KESEJAHTERAAN rakyat adalah salah satu matlamat utama bagi sesebuah kerajaan yang baik dan stabil. Kesejahteraan itu pula memiliki kepelbagaian spektrum dan sisi yang perlu dilengkapkan nagi merelisasikan kesejahteraan rakyat yang holistik dan bukanlah hanya secara retorik atau dakwaan.

Dunia pula di kala ini menuju kepada Matlamat Pembangunan Mampan atau lebih dikenali dengan SDGs yang meletakkan kesihatan yang baik dan kesejahteraan sebagai salah satu perkara yang perlu dijadikan agenda besar bagi sesebuah kerajaan yang stabil. Agenda Kerajaan Madani juga meletakkan fokus utama kerajaan adalah untuk membangunkan masyarakat sejahtera menerusi beberapa anjakan besar yang berkaitan seperti pembudayaan masyarakat Madani dan pengukuhan perkhidmatan kesihatan.

Dalam usaha negara ini untuk mengembalikan pertumbuhan ekonomi negara ke trek yang lebih positif dan mampan, pelbagai inisiatif yang telah dibuat oleh kerajaan kini mahupun yang lepas. Sememangnya mereka layak diberikan kredit atas usaha yang telah ditunjukkan. Walaupun begitu, terdapat beberapa aspek yang perlu dilihat dengan kritis tanpa mengabaikan aspek optimisma dalam penilaian tersebut.

Isu perlesenan dan penjualan arak di negara ini mula mendapat perhatian beberapa pihak mutakhir ini. Ada pihak yang beranggapan ia cumalah perkara yang dipolitikkan, sebaliknya ada yang melihat ia sebagai satu isu besar yang perlu diberikan perhatian dan tind akan.

Pada Disember 2023, berita melaporkan mengenai kemalangan yang telah mengorbankan dua orang guru di Pulau Pinang. Suspek dalam kes tersebut dikatakan sedang memandu dalam keadaan mabuk. Sebelum itu, pada bulan Jun, tiga nyawa penunggang motosikal telah melayang setelah dilanggar oleh pemanduk mabuk di NKVE ketika mereka sedang berteduh di bawa jambatan di lebuhraya tersebut. Kes-kes seperti ini sewajarnya dilihat oleh pihak berkuasa untuk memperketatkan lagi lesen-lesen arak atau menyekat langsung penjualannya.

Persoalannya, adakah pelancongan di Malaysia ini sebenarnya dirancakkan dengan arak atau terdapat faktor-faktor lain?

Pada awal tahun 2023 yang lepas, perkara berkaitan penjualan arak di kawasan terbuka ini telah menjadi sebuah isu hangat di kalangan ahli Parlimen dan menteri. Menteri Pelancongan Seni dan Budaya (Motac) Datuk Seri Tiong King Sing berpendapat cadangan untuk menghentikan penjualan arak secara terbuka adalah satu cadangan yang tidak relevan dan negara akan dilihat kolot serta boleh menjejaskan industri pelancongan negara.

Pandangan yang diberikan di atas seolah-olah menggambarkan negara kita ini banyak bergantung kepada penjualan arak seperti mana negara-negara yang terkenal dengan pesta arak seperti Jerman dengan Oktober Fest, dan turut dikenali dengan produk arak tempatan seperti Boza di Moldova dan Vodka di Rusia.

Sedangkan kajian dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 2015 menunjukkan bahawa empat faktor utama yang menarik minat pelancong ke Malaysia ialah ekonomi, persekitaran, kebudayaan, dan komuniti. Kajian tersebut tidak menyebut secara langsung sumbangan penjualan arak sebagai faktor tarikan pelancong ke Malaysia.

Dapatan ini turut disokong oleh pelbagai kajian dari dalam dan luar negara, yang turut memasukkan beberapa faktor dan polisi penting yang menyumbang kepada perkembangan industri pelancongan di Malaysia. Faktor yang dimaksudkan termasuklah kestabilan politik, kepelbagaian agama dan budaya, kos perjalanan yang murah, fasiliti kesihatan serta kebolehan komunikasi yang dimiliki oleh rakyat Malaysia.

Namun tidak dinafikan, minuman beralkohol pernah dijadikan sebagai daya penarik pelancong di negara luar. Bermuda adalah sebuah negara yang terletak di Lautan Atlantik, dan bergantung sepenuhnya dengan industri pelancongan sebagai nadi utama kepada penghasilan negara kepulauan tersebut.

Bagi menggalakkan pelancongan negara tersebut pada pertengan 90-an yang lepas, slogan ‘Let Yourself Go’ telah digunakan bagi menggalakkan pengunaan alkohol ditambah lagi dengan pemberian alkohol percuma kepada pelancong yang tiba di lapangan terbang negara tersebut.

Walau bagaimanapun, pada tahun 2018, negara tersebut telah melancarkan kempen “Changing Attitudes: It’s not a rite of passage” bagi mendidik rakyat negara tersebut tentang bahaya pengambilan alkohol. Kempen ini dilancarkan berikutan keterlibatan lebih dari separuh pelajar di negara tersebut terlibat dalam mengambil alkohol yang sekaligus mendatangkan kesan buruk kepada generasi muda di negara itu.

Kisah dari negara kecil tersebut perlu diambil pengajaran bagi setiap negara termasuk Malaysia dalam membina kesejahteraan masyarakat. Dalam hal berkaitan, Eurostat mengeluarkan statistik yang menunjukkan lebih kurang 37 peratus penduduk di Eropah mengambil alkohol setiap minggu sekaligus meningkatkan kebimbangan terhadap potensi negatif pengambil alkohol kepada kesejahteraan hidup, pergaulan sosial serta kesihatan mental.

Merujuk kepada laporan serta statistik yang dikeluarkan oleh Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC), Amerika Syarikat, pengambilan alkohol berlebihan telah menjadi penyebab kepada kematian lebih 97,000 orang setiap tahun di negara tersebut.

Laporan tersebut juga menyimpulkan bahawa pengambilan alkohol yang kebiasaannya dalam bentuk arak sering dikaitkan dengan tindakan ganas terhadap orang lain, keganasan seksual dan bunuh diri. Risiko untuk mendapat penyakit kanser juga tinggi terutamanya pada anggota-anggota yang berkaitan dengan mulut.

Ternyata negara-negara Barat yang telah dan sedang menghadapi kesan negatif alkohol dan arak ini sedang berusaha untuk mengurangkan masalah yang sedang mereka hadapi sama ada dari segi kos perubatan, kadar pesakit, keganasan domestik dan seksual akibat ketagihan alkohol dan lainnya.

Mengapakah kita yang berada di negara Malaysia yang sememangnya berbebudaya ketimuran dan majoriti penduduknya beragama Islam perlu ‘mencari penyakit’ dengan beria-ria mempertahankan penjualan arak atau minuman alkohol dengan dakwaan kemajuan ekonomi dan keterbukaan kepada para pelancong, sedangkan kerugian dan kerosakan akibat perkara tersebut amat jelas lagi bersuluh.

Secara logiknya, kita telah pun bersatu dalam memerangi najis dadah yang boleh merosakkan sistem badan manusia akibat ketagihan dan kecanduan najis terdebut, namun mengapa kita tidak boleh meletakkan alkohol pada timbangan yang sama dengan melihat kepada kesan negatif yang begitu banyak berbanding kesan positif yang hanya diperolehi secara sementara atau tidak langsung.

Justeru, kebijaksanaan para pimpinan negara amat ditagih dalam menangani hal ini bagi merealisasikan kesejahteraan yang menjadi agenda negara, serta salah satu dari Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang diseru oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

 

Penulis merupakan Ketua, Jabatan Syariah dan Ekonomi, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.