KUALA LUMPUR – Seorang tukang urut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja lelaki yang sebelum ini dilaporkan hilang di Hulu Bernam, Selangor baru-baru ini.
Tertuduh Hamid Khan Samoon, 43, membuat pengakuan itu dan minta dibicarakan di hadapan Hakim Mohd Kafli Che Ali di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Suspek tiba di mahkamah pagi ini dengan berpakaian seperti ‘wanita’ juga kelihatan sentiasa menundukkan kepalanya.
Mengikut pertuduhan, Hamid Khan didakwa melakukan amang seksual fizikal itu terhadap budak lelaki berusia 16 tahun di sebuah bilik di Jalan Sultan di sini antara 1 Januari sehingga 10 Januari.
Dia didakwa mengikut Sesyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 dan jika sabit salah boleh dipenjara sehingga 20 tahun serta sebat.
Ketika prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya, Noorhani Muhmmed Ayub memohon kepada mahkamah untuk jaminan sehingga RM15,000 dengan seorang penjamin selain syarat tambahan seperti tidak menggangu saksi dan melaporkan diri di balai berdekatan setiap bulan.
Bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon supaya wang jaminan itu dikurangkan kerana dirinya perlu menanggung kakaknya yang sudah uzur dan kematian anak.
“Tolonglah Yang Arif, kakak saya perlukan saya sangat-sangat. Anaknya sudah meninggal dunia dan hanya ada saya,” katanya.
Mohd Kafli kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM8,000 selain mengenakan syarat tambahan yang sudah dimohon pendakwaan.
Sebelum ini gempar apabila seorang lelaki ditahan reman tujuh hari selepas disyaki terlibat dengan kes dua adik beradik yang hilang selepas keluar dari rumah mereka di Hulu Selangor pada 1 Januari lepas. -MalaysiaGazette