KUALA LUMPUR – Pengurus Besar yang juga penyampai radio Suria FM, DJ Lin menyifatkan kontroversi penamatan kontrak penyampai radio, Tyzo merupakan kecaman yang terhebat pernah dialaminya sepanjang 25 tahun terlibat dalam dunia penyiaran.
Namun beliau tidak menyalahkan netizen atas apa yang berlaku kerana tidak mengetahui perkara sebenar.
“Selama 25 tahun dalam industri radio, saya kekalkan rekod cemerlang bersama 13 anugerah besar. Saya bina jenama DJ Lin dari kosong sejak 1999.
“Saya cintakan kerjaya dunia penyiaran radio dan menjadi hidup dan mati saya. Saya tak boleh salahkan netizen sebab mereka tak tahu apa yang berlaku,” katanya ketika sidang media, semalam.
Bagaimanapun beliau tidak mahu nama anaknya terpalit dan turut diburukkan oleh netizen.
“Anak saya tak bersalah. Nak kecam DJ Lin, kecamlah, tetapi jangan sentuh anak-anak saya dan jangan hukum mereka tanpa asas. Mereka manusia biasa, ada hati, emosi dan perasaan,” katanya.
Tidak menafikan isu berkenaan memberi kesan kepada kesihatan mentalnya, DJ Lin percaya ia sebahagian daripada proses pembelajaran.
“Saya tak tahu apa hikmahnya, tapi saya sangat percaya netizen yang hentam saya, yang gelar saya dengan pelbagai panggilan yang tak boleh diterima, akan menyedari kenyataan tetap kenyataan.
“Saya anggap ini adalah satu proses untuk memantapkan mental fizikal saya. Cuma, kalau mahu menghukum ketahui fakta atau kenyataan sebenar kedua-dua pihak,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Star Media Group dan Pengerusi Star Media Radio Group, Datuk Dr Mohd Aminuddin Mohd Rouse berkata, tiada sebab untuk memecat DJ Lin berikutan tohmahan berkaitan penamatan kontrak Tyzo baru-baru ini. – MalaysiaGazette