Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki ditangkap kerana merakam video bawah skirt seorang artis semasa satu acara di sebuah pasar raya di Bukit Jalil, di sini.

Ketua Polis Daerah Cheras, ACP Zam Halim Jamaluddin berkata, pihaknya menerima tiga laporan polis semalam pada jam 11.12 malam berkenaan kejadian berkenaan.

Jelasnya, suspek yang berusia 33 tahun itu merakam video daripada bawah pentas.

Menurut beliau, suspek pada mulanya dikesan oleh pengadu iaitu seorang wanita dan orang awam sebelum diserahkan kepada pihak polis.

“Seterusnya, rakan pengadu bersama dengan orang awam telah berjaya mengesan dan menangkap suspek di dalam kawasan pasar raya tersebut.

“Bertindak atas maklumat, pada 19 Januari 2024 jam lebih kurang 11.15 malam, anggota Pencegahan Jenayah Balai Polis Bukit Jalil, Kuala Lumpur telah membuat tangkapan semula ke atas suspek,” katanya menerusi kenyataan.

Kata Zam Halim, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

Tambah beliau, suspek kini direman tiga hari sehingga 22 Januari.

Terdahulu katanya, seorang wanita tempatan yang juga pengadu dimaklumkan oleh orang awam bahawa ada seorang suspek telah membuat rakaman video tidak sopan menggunakan telefon bimbit dari bawah pentas. – MalaysiaGazette