Tyzo dinobatkan sebagai Penyampai Radio Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-35.

KUALA LUMPUR – Selepas hampir seminggu berlarutan isu penamatan kontrak penyampai radio Suria FM, Tyzo yang tular baru-baru ini, kepimpinan Star Media Group tampil memberi penjelasan semalam.

Ahli Lembaga Pengarah Star Media Group dan Pengerusi Star Media Radio Group, Datuk Dr Mohd Aminuddin Mohd Rouse berkata, keputusan tidak meneruskan kotrak Tyzo dibuat selepas pertimbangan menerusi tinjauan jumlah pendengar dan kewangan syarikat.

Malah katanya, ia telah dibincangkan bersama Tyzo sebelum ini yang juga memohon untuk kontraknya disambung selama enam bulan sahaja.

“Kontrak Tyzo tamat pada 9 Oktober tahun lalu. Dua bulan sebelum kontrak tamat, kami bertemu Tyzo untuk beritahu lanjutkan kontrak selama setahun, sama ada terima atau tidak.

“Tyzo kata ya, tapi mahu enam bulan sahaja sebab ada rancangan lain atau fokus bisnes. Saya berpendapat, Tyzo lebih laku atau terima tawaran lain selepas menang trofi Penyampai Radio Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-35. Kami ulangi banyak kali dan beri masa seminggu untuk Tyzo buat keputusan. Tyzo beri keputusan mahu sambung enam bulan sahaja,” katanya menerusi sidang media.

Jelasnya, khidmat Tyzo ditamatkan lebih awal kerana syarikat berkenaan sudah merangka rancangan bagi tahun ini.

Bagaimanapun Mohd Aminuddin berkata, gaji Tyzo tetap akan dibayar mengikut kontrak sehingga 9 Mac depan.

“Kontrak Tyzo akan tamat pada 9 Mac depan, selalunya sebelum dua bulan kontrak tamat kami akan beritahu. Tyzo tak cakap apa-apa. Jadi, saya kaji jumlah pendengar dan sebagainya. Saya buat kesimpulan Tyzo tidak berminat meneruskan kerjaya sebagai penyampai radio.

“Saya buat keputusan kontrak Tyzo tidak akan disambung. Ini adalah keputusan saya sebab ia adalah tanggungjawab saya. Saya beri arahan dan mereka hanya mengikut arahan saya,” tambahnya.

Sehubungan itu, beliau meminta mana-mana pihak tidak mengeluarkan kenyataan negatif dan berbaur fitnah yang boleh merosakkan reputasi Suria FM.

“Saya harap isu ini akan tamat dan tidak dibangkitkan lagi. Jika ada mana-mana pihak terus buat kenyataan berbaur fitnah terhadap Suria FM, kami berhak dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang,” ujarnya.

Semalam, Suria FM turut mengumuman tiga penyampai baharu iaitu Datuk Fizz Fairuz yang bakal menyertai segmen Morning Morning Suria, Chiwan Chilok (Suria Petang) dan Kai Hasan (Morning Morning Suria dan Carta Suria Top 40).

Sementara itu Tyzo mengakui meminta gajinya ditambah sebanyak RM500 baru-baru ini.

Beliau turut menyifatkan dakwaan tidak berminat itu ibarat mahu menutup perkara sebenar yang enggan didedahkan kepada umum. – MalaysiaGazette