Logo Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). foto SYAFIQ AMBAK, 02 OKTOBER 2020

KUALA LUMPUR – Tindakan merobohkan struktur khemah dan binaan di sebuah rumah di Jalan Titiwangsa, pada 11 Januari lalu dilakukan selaras dengan Seksyen 19 dan Seksyen 26(1)(b) Akta (Perancangan) Wilayah Persekutuan 1982 (Akta 267) kerana kesalahan mendirikan struktur sementara dan berkaitan dengannya tanpa perintah pembangunan.

Ini kerana, struktur terbabit telah didirikan sejak Oktober tahun lepas malah, terdapat dua iklan digantung di luar pagar menawarkan tempahan pakej perkahwinan dan pelbagai acara di Laman Tinta Wangsa, kata Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Pihak berkuasa tempatan (PBT) itu menjelaskan, semakan mendapati, rumah banglo dan tanah di atas lot yang dinyatakan merupakan hak milik Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP) di bawah kawalan Bahagian Pengurusan Hartanah Jabatan Perdana Menteri untuk kegunaan kediaman.

“Rumah kerajaan di atas lot itu telah disewakan kepada Persatuan Wartawan Melayu (PWM) bagi tujuan dijadikan Pejabat Urusan,” katanya dalam kenyataan.

Pada Rabu lepas, Persatuan Wartawan Melayu Malaysia (PWM) kesal, kecewa dan dukacita dengan tindakan kakitangan DBKL yang menceroboh Rumah PWM di Jalan Titiwangsa, di sini pukul 9 pagi pada 11 Januari lalu untuk merobohkan khemah besar yang dipasang sebagai persediaan majlis perasmian premis itu oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Presiden PWM, Datuk Yazid Othman mendakwa, pencerobohan dan perobohan dengan menggunakan jentolak dan lori itu dilakukan ketika tiada sesiapa berada di pekarangan Rumah PWM yang turut berkunci sedangkan majlis tersebut sudah dimaklumkan kepada pegawai-pegawai DBKL.

Beliau menuntut Datuk Bandar Kuala Lumpur untuk tampil menjelaskan tindakan yang disifatkan kejam terhadap sebuah pertubuhan orang Melayu ini yang sudah berusia 35 tahun. – MalaysiaGazette