PUTRAJAYA – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan membuat sidang media khas, Isnin ini.
Ia berikutan media gagal mendapatkan penjelasan mengenai dakwaan bahawa anak beliau Mirzan diugut penjara selama lima tahun.
“Tunggu Isnin nanti (tanya dalam sidang media),” katanya kepada media selepas menghadiri program Minda Negarawan ‘Iktibar 150 tahun Perjanjian Pangkor’ di Yayasan Kepimpinan Perdana (YKP), hari ini.
Sidang media itu difahamkan akan diadakan di YKP dan akan mengupas mengenai isu semasa, politik dan pendakwaan Mirzan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Dalam kenyataan media semalam, Mahathir mendakwa Mirzan diugut dengan hukuman penjara selama lima tahun sekiranya berbuat sesuatu bertentangan dengan pendakwaan.
Beliau berkata, anaknya itu sehingga kini tidak disebut akan dihadap ke mahkamah.
Pada Rabu lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memanggil Mirzan ke ibu pejabat suruhanjaya itu di Putrajaya dengan satu perintah notis diberikan mengikut Seksyen 36(1)(b) Akta SPRM 2009.
Notis itu mengkehendaki Mirzan mengisytiharkan segala aset alih dan tidak alih yang berada di dalam pegangannya sama ada di dalam atau di luar negara dalam tempoh 30 hari daripada tarikh notis tersebut.
SPRM menjelaskan, perintah itu adalah tindakan susulan daripada siasatan SPRM berhubung maklumat dalam laporan Kertas Panama serta aktiviti perniagaan Mirzan yang membabitkan penjualan dan pembelian syarikat berkaitan kerajaan (GLC). – MalaysiaGazette