Nelayan luar menggunakan bot motor ekor biawak untuk mencuri benih kerang di lot-lot semulajadi di perairan negara di pantai Sungai Leman, Sekinchan, Selangor.

RAWANG – Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) tidak menafikan wujudnya aktiviti kecurian benih kerang yang berleluasa di lot-lot semulajadi di Sekinchan sejak beberapa bulan lalu.

Ketua pengarahnya, Datuk Adnan Hussain berkata, hasil risikan awal mendapati kegiatan itu didalangi nelayan yang tidak mempunyai permit sah untuk mengaut benih kerang itu.

“Kita tak menafikan ada aktiviti kecurian benih kerang berlaku dan tindakan penguatkuasaan telah dilaksanakan pun oleh DOF.

“DOF memang mengambil perhatian berita berkaitan dengan kes kecurian benih kerang ini. Maklumat kita terima, kejadian ini berlaku di Sekinchan.

“Kita mendapat kerjasama dengan pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan polis marin untuk membanteras kegiatan ini,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Sebelum ini, Pengarah DOF Selangor, Noraisyah Abu Bakar menafikan wujudnya aktiviti kecurian hidupan laut di kebun benih kerang berdekatan pantai Sungai Leman, Sekinchan pada 23 Disember 2023.

Noraisyah berkata, sebaliknya pengambilan benih kerang itu hanya berlaku di lot-lot haram yang hidup secara semulajadi dan tiada kenaikan benih di sekitar kelong Sekinchan.

MalaysiaGazette sebelum ini mendedahkan, kira-kira 200 bot enjin ekor biawak mencuri benih kerang dari kebun semulajadi kira-kira 0.5 batu nautika dari pantai Sungai Leman, Sekinchan, 23 Disember 2023.

Menurut Adnan, pihaknya mengakui berdepan kekangan apabila aktiviti kecurian benih kerang itu giat dilakukan pada waktu malam bagi mengelakkan dihidu pihak berkuasa.

“Daripada maklumat awal yang kita terima, kegiatan kecurian ini berlaku khususnya pada waktu malam.

“Tindakan pantauan dan penguatkuasaan telah ditingkatkan untuk kita mengatasi masalah ini,” katanya.

Tambah Adnan, DOF ada mengeluarkan permit kepada nelayan bagi membolehkan mereka mengambil benih kerang dari kebun semulajadi hasil laut.

“Pada masa ini, DOF mengeluarkan permit untuk mana-mana pihak yang berminat untuk mengambil benih kerang tersebut secara sah.

“Di bawah peraturan DOF, hanya benih saiz lebih dari empat millimeter (mm) hingga 25mm sahaja boleh dikeluarkan permit untuk mengambil benih kerang.

“Jika kawasan itu mempunyai benih kerang kurang dari empat mm, kita tak keluarkan permit,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Sindiket curi benih kerang makin rakus, macam tiada kesudahan – Nelayan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast