Nelayan luar menggunakan bot motor ekor biawak untuk mencuri benih kerang di lot-lot semulajadi di perairan negara di pantai Sungai Leman, Sekinchan, Selangor.

SEKINCHAN – Walaupun Jabatan Perikanan Selangor (DoF) sudah melakukan beberapa operasi penguatkuasaan sebelum ini, namun aktiviti kecurian benih kerang di kebun semula jadi di pantai Sungai Leman di sini, masih berleluasa.

Meskipun dua operasi DoF sebelum ini berjaya merampas dua bot tunda haram dan beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk mencuri benih kerang, namun ia tidak berupaya melumpuhkan jenayah itu.

Sumber MalaysiaGazette memberitahu, aktiviti mencuri sumber laut itu masih berterusan secara terang-terangan yang kini memasuki hari ke-15 sejak ia mula dikesan pada 28 Disember tahun lalu.

Sumber berkata, komuniti nelayan di pantai Sungai Leman di sini semakin bimbang dengan kerakusan sindiket itu merompak hasil laut hingga merosakkan ekosistem hasil laut itu apabila terkena bilah motor bot ekor biawak.

“Kecurian benih kerang masih giat berlaku jam 10 malam tadi (12 Januari 2024) melibatkan kira-kira 30 bot ekor biawak berdekatan dengan Pantai Redang.

“Sebelum itu 20 bot ekor biawak juga melakukan aktiviti curi benih kerang bermula jam 11 pagi (12 Januari 2024).

“Nampak tidak berkesudahan, aktiviti haram ini menjejas nelayan pantai Sekinchan, seolah-olah tiada undang-undang lagi di negara ini,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Sebelum ini, MalaysiaGazette mendedahkan kira-kira 200 bot ekor biawak digunakan sindiket untuk mencuri benih kerang di lot-lot semula jadi di pantai Sungai Leman, di sini pada 28 Disember 2023.

Nelayan luar menggunakan bot motor ekor biawak untuk mencuri benih kerang di lot-lot semulajadi di perairan negara di pantai Sungai Leman, Sekinchan, Selangor.

Aktiviti mencuri khazanah laut itu dilakukan secara terang-terangan bermula kira-kira jam 9.30 pagi di dari kawasan kebun kerang semulajadi yang terletak kira-kira 0.5 batu nautika dari pantai Sungai Leman, di sini.

Selain itu, sumber memberitahu, bimbang sumber pencarian semakin terjejas, komuniti nelayan di situ berhasrat untuk mengadakan dialog dengan pemimpin setempat agar tindakan segera dapat diambil.

Artikel berkaitan: Curi benih kerang: Tiada tangkapan, rampasan selepas aduan dibuat

Sindiket curi benih kerang kembali bermaharajalela

Curi benih kerang hanya berlaku di lot-lot haram – Noraisyah

Lebih 20 bot nelayan rompak benih kerang pantai Sungai Leman?

Sindiket semakin berani, rompak kebun kerang waktu siang

“Nelayan pantai Jeti Sekinchan telah menyuarakan hasrat ingin bertemu dengan Yang Berhormat Ng Suee Lim, Datuk Seri Jamal Md Yunos serta penguatkuasa perikanan dan pihak berkenaan.

“Ia tujuan mengatasi masalah pencerobohan benih kerang di kawasan sekitar pantai Sekinchan dari Pantai Redang ke Parit 9 Sekinchan oleh bot ekor biawak dari jeti-jeti lain sudah cecah 15 hari,” kata sumber.

Sumber berkata lagi, aktiviti pencerobohan itu amat serius kerana melibatkan nelayan luar yang menggunakan bot motor ekor biawak hingga menyebabkan tiada lagi kerang bersaiz besar serta mentarang pula mati.

“Pencerobohan menggunakan sampan bermotor ekor biawak oleh nelayan luar menjejaskan ekosistem laut dan menyebabkan tiada kerang besar serta mentarang mati terputus kena rotor.

“Maka itu mereka mahu menyatakan hasrat tidak puas hati berdialog dgn Yang Berhormat Ng Suee Lim serta Datuk Seri Jamal,” katanya lagi. – MalaysiaGazette