Antara benih kerang yang ditemui dalam rampasan yang dijalankan oleh Jabatan Perikanan Negeri Selangor di Sungai Leman, Sekinchan baru-baru ini.

SEKINCHAN – Sindiket pencurian benih kerang bagaikan tidak gentar dengan tindakan pihak berkuasa sebelum ini malah kembali bermaharajalela.

Mereka mencuri semula selepas 10 hari Jabatan Perikanan Selangor melakukan operasi pada 17 Disember lalu.

Menurut sumber, kali ini bukan 20 malah lebih 60 bot nelayan digunakan sindiket untuk merompak hasil laut itu di kawasan kebun kerang yang terletak lebih kurang 0.5 batu nautika dari pantai Sungai Leman di sini malam tadi.

Jenayah itu disedari penduduk tempatan khususnya komuniti nelayan di situ kira-kira jam 9.30 malam tadi selepas kedengaran deruman enjin bot diesel yang memecah kesunyian malam.

Berdasarkan rakaman video berdurasi satu minit 10 saat yang diperoleh MalaysiaGazette mendapati kelihatan berpuluh-puluh suluhan lampu sorot dipercayai digunakan sindiket untuk mencari benih kerang di situ.

“Ada pesta anak kerang, selepas kegiatan mereka dilaporkan, mereka masih beroperasi lagi. Cahaya lampu tengah laut macam pesta. Anggaran dalam 50 hingga 60 buah bot.

“Ada juga yang tak pakai lampu (curi benih kerang),” katanya kepada MalaysiaGazette malam tadi.

Susulan kejadian itu, MalaysiaGazette cuba mendapatkan maklum balas daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam malam ini berhubung insiden berkenaan.

Pada 17 Disember lalu, Pejabat Perikanan Daerah Sabak Bernam bersama Cawangan Sumber Pelabuhan Klang, Jabatan Perikatan Negeri Selangor menahan sebuah kenderaan jenis Proton Wira milik seorang lelaki warga tempatan di kawasan berhampiran pantai Sungai Leman, di sini.

Hasil pemeriksaan itu memenuhi sebanyak 10 guni anak kerang yang telah disimpan di dalam tempat penyimpanan kereta.

Turut ditemui sebanyak 10 guni anak kerang berhampiran kenderaan terbabit dengan jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan sebanyak RM 20,000.

Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985, Seksyen 3(1) Peraturan-Peraturan Perikanan (Pemuliharaan dan Kultur Kerang) 2003, di mana tiada seorang pun boleh mengambil apa-apa anak kerang dari suatu tapak kerang semulajadi atau tapak kerang kultur.

Turut dirampas dalam operasi itu ialah sebuah kereta Proton Wira, 20 guni berisi anak kerang, enam tangguk tangan dan satu penyukat anak kerang. – MalaysiaGazette