Ibu Pejabat Polis Bukit Aman

KUALA LUMPUR- Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandang serius serangan dan ancaman yang berlaku di tempat awam termasuk di beberapa lokasi sensitif dan premis kerajaan baru-baru ini.

Pengarah Pengurusan Polis Diraja Malaysia, Datuk Seri Azmi Abu Kassim berkata, insiden yang berlaku di beberapa lokasi itu telah menimbulkan kegusaran awam mengenai tahap keselamatan dan ketenteraman negara.

Bagi menjamin keselamatan awam terus terpelihara, PDRM sentiasa bersiap siaga dan memperketatkan lagi kawalan pada tahap tertinggi.

“PDRM mengambil langkah memperketatkan kawalan di bangunan-bangunan kerajaan, tempat-tempat tumpuan awam dan fasaliti berkepentingan.

“Malah, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain sudah mengarahkan semua peringkat kepimpinan PDRM serta petugas di lapangan supaya mengambil langkah-langkah komprehensif semasa menjalankan tugas dengan mematuhi pekeliling, mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah dikeluarkan oleh PDRM,” katanya dalam kenyataan sebentar tadi.

Azmi turut menyeru masyarakat untuk terus bekerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan isu keselamatan negara kepada pihak berkuasa dengan kadar segera.

“PDRM tidak akan bertolak ansur terhadap anasir yang cuba mengancam keselamatan dan menganggu-gugat ketenteraman awam.

“Tindakan tegas berlandaskan lunas undang-undang akan diambil polis tanpa mengira status dan latar belakang mereka yang terlibat.

“Justeru, PDRM turut memberi jaminan keselamatan awam di dalam negara berada pada tahap selamat,” ujarnya. – MalaysiaGazette