KUALA LUMPUR – Pihak forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) menemui sebanyak lapan kesan cap jari di lokasi serangan simbah asid ke atas pemain Harimau Malaya, Muhammad Faisal Abdul Halim 5 Mei lalu.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain bagaimanapun berkata, hasil analisa ke atas kesemua cap jari itu mendapati hanya tiga cap jari sahaja dikesan cukup sifatnya manakala selebihnya tidak cukup sifat.

Menurutnya, semakan pihaknya di dalam sistem pangkalan data juga mendapati tidak timbul padanan dengan cap jari cukup sifat yang diperoleh itu.

“Hal ini mungkin kerana individu terbabit tidak pernah ditahan dan tidak memiliki sebarang rekod kesalahan jenayah lampau.

“Polis juga sudah mengedar fotofit atau lakaran wajah suspek yang dipercayai terbabit dalam serangan asid itu dan meminta orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat berkaitan individu berkenaan diminta tampil bagi membantu mengesan suspek yang menyerang pemain kebangsaan terbabit,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Tambah Razarudin lagi, suspek lelaki yang dikehendaki polis dalam kes ini dianggarkan berusia 30-an dengan berketinggian 165 sentimeter (cm), tubuh bersaiz sederhana dan kulit sawo matang.

Orang ramai boleh berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bahagian Pendakwaan Undang-undang (D5), Inspektor Jagachandaran Murugesen di talian 0125848166 atay 0322666071 jika mempunyai maklumat.

Sebelum ini, polis memaklumkan pihaknya sedang menganalisa cap jari yang ditemukan di lokasi kejadian simbah asid membabitkan pemain kebangsaan, Faisal Halim.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Datuk Seri Shuhaily Mohd Zain dilaporkan berkata, hasil semakan kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar pusat beli belah didapati suspek ada menyentuh beberapa kawasan atau tempat sehingga meninggalkan cap jarinya dalam kejadian jam 5 petang di sebuah pusat membeli belah di Kota Damansara, Petaling Jaya.

Dalam kejadian itu, Faisal yang terkenal dengan jolokan Mickey mengalami kecederaan melecur tahap empat selepas disimbah asid oleh individu tidak dikenali menyebabkan kecederaan pada badannya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast