Orang ramai menyaksikan Perutusan Negara Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung melalui televisyen yang disampaikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Restoran sekitar Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 21 MEI 2024.

KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju untuk melaksanakan penyasaran subsidi diesel di Semenanjung Malaysia dan bakal memberi penjimatan RM4 billion setahun yang akan digunakan untuk faedah rakyat.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Sabah dan Sarawak dikecualikan berikutan hampir setiap keluarga di kedua-dua negeri menggunakan kenderaan diesel.

Anwar berkata, pelaksanaan melalui Sistem Kawalan Diesel Subsidi (SKDS) melibatkan 10 jenis pengangkutan awam dan 23 kenderaan pengangkutan barangan akan membendung kenaikan harga barang dan perkhidmatan.

Tambahnya, pelaksanaan tersebut hanya akan memberi kesan terhadap golongan T20 dan 3.8 juta rakyat asing.

Penyasaran subsidi diesel tidak akan membebankan golongan B40 dan M40 yang terdiri daripada pelbagai pekerjaan dan kegiatan ekonomi.

“Makna pengusaha bas, teksi, nelayan, petani, pesawah, peniaga kecil, akan terus dipelihara melalui bantuan beri bantuan tunai pemilik kenderaan yang menggunakan disesel.

“Makna untuk B40, M40 yang menggunakan kenderaan diesel untuk kegiatan pertanian akan terus dibantu. Mereka tidak terkesan. Yang tidak menerima manfaat adalah T20 dan 3.8 juta orang asing,” kata Anwar.

Beliau berkata demikian dalam Perutusan Negara yang disiarkan secara langsung di media tempatan malam ini.

Anwar berkata, jika ada pihak yang terbeban dengan penyasaran subsidi diesel masih ada ruang untuk mereka rujuk kepada Kementerian Pengangkutan dan kementerian berkaitan.

“Saya jangka ada pihak mengembar-gemburkan isu ini, saya dan Jemaah Menteri akan menjawab kerana saya beri pengakuan sebarang penyasaran subsidi tidak harus membebankan rakyat terbanyak.

“Jika ditanya kenapa perlu kerana kita tidak mampu beri subsidi kepada golongan kaya dan warga asing.

“Kalau ada kalangan yang memilih untuk meneruskan dasar ini yang memperkayakan golongan kaya dan orang asing sila kemukakan kepada rakyat, biar rakyat pilih sama ada dasar untuk memberi RM4 billion dana diselamatkan itu langsung (diguna) kepada rakyat atau mereka beri kepada golongan maha kaya atau warga asing,” kata Anwar.

Kerajaan mula melaksanakan penyaluran diesel subsidi pada 2006 dengan memperkenalkan fleet card kepada pengakutan darat dan laut.

SKDS 1.0 kemudian diperkenal pada 2013 melibatkan 10 jenis pengangkutan.

Pada Januari tahun ini SKDS 2.0 dimulakan, membabitkan enam syarikat pengangkutan. SKDS 2.0 merupakan sistem pendigitalan melalui fleet card untuk mencegah penyelewangan berleluasa

Pada Mac SKDS 2.0 diperluas melibatkan sembilan jenis pengangkutan darat dan sebanyak 14 jenis pengangkutan lagi ditambah pada Mei.

Untuk rekod, sejumlah RM30 bilion gunakan untuk tanggung subsidi diesel selama lima tahun dari 2018 hingga 2022.

Tahun ini subsidi diesel mencecah RM1 billion sebulan atau RM14 billion setahun.

Penggunaan diesel meningkat 70 peratus dari 6.1 billion liter pada 2019 kepada 10.8 billion liter pada 2023 sedangkan jumlah jualan kenderaan diesel hanya naik 3 peritus.-MalaysiaGazette