Pengarah Perikanan Negeri Selangor, Noraisyah Abu Bakar Foto MOHD ADZLAN, 10 FEBRUARI 2023.

SEKINCHAN – Jabatan Perikanan Selangor (DOF) menafikan wujudnya aktiviti kecurian hidupan laut di kebun benih kerang berdekatan pantai Sungai Leman, di sini, pada Khamis

Pengarahnya, Noraisyah Abu Bakar berkata, sebaliknya pengambilan benih kerang itu hanya berlaku di lot-lot haram yang hidup secara semulajadi dan tiada kenaikan benih sejak sekian lama.

“Hasil siasatan dari pihak DOF Selangor mendapati lokasi aduan adalah di sekitar kelong Sekinchan.

“Aktiviti kecurian benih kerang tersebut berlaku di lot-lot haram di mana ianya merupakan lot-lot semulajadi benih kerang yang sudah lama tidak berlaku kenaikan benih.

“Terdapat tiga pengusaha di lot kerang berdaftar di perairan Sekinchan dan kes kecurian seperti yang dilaporkan bukan berlaku di lot pengusaha tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, MalaysiaGazette mendedahkan sebanyak kira-kira 200 bot ekor biawak didapati kembali aktif mencuri sumber laut itu di kebun benih kerang kira-kira 0.5 batu nautika dari pantai Sungai Leman, di sini.

Sumber MalaysiaGazette memberitahu, sindiket itu yang sebelum ini mencuri hasil laut pada waktu malam, kini lebih berani secara terang-terangan sejak jam 9.30 pagi semalam.

Dalam pada itu, Noraisyah memberitahu, ternakan kerang di perairan lautan Malaysia dikawal sepenuhnya di bawah Akta Perikanan 1985 Seksyen 61, di mana Peraturan-peraturan Perikanan (Sistem Kultur Laut) 1990 dan Peraturan-peraturan Perikanan (Pemuliharaan dan Kultur kerang) 2002 dikuatkuasakan.

Jelasnya, tapak semulajadi benih kerang serta Projek Kebun Kerang Selangor tidak terkecuali, mana-mana orang yang menjalankan aktiviti mahupun ternakan kerang di perairan Selangor wajib mematuhi peraturan.

“Antara kaedah yang dilaksanakan DOF untuk mencegah kecurian benih kerang ialah penguatkuasaan Akta Perikanan 1985 dan mempraktikkan prosedur dalam Buku Dasar Dan Prosedur (Pelesenan Vesel, Peralatan Menangkap Ikan & Pendaftaran Nelayan), Lesen Vesel Sistem Kultur Laut (SKL), Lesen Sistem Kultur Laut (SKL), Lesen Mengambil Benih Kerang, Lesen Mengambil Kerang Dewasa dan Lesen Membeli Benih Kerang,” katanya.

Selain DOF, katanya, Polis Marin dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) turut membantu dalam menguatkuasakan Akta Perikanan 1985.

“Perbincangan penyelarasan akan dibuat bersama bagi memantapkan penguatkuasaan termasuk kes kecurian benih kerang,” katanya.

Susulan pendedahan MalaysiaGazette itu, DOF Selangor telah memaklumkan kepada agensi-agensi penguatkuasaan berkenaan termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor.

“Langkah ini diambil supaya semua pihak dapat bersama-sama membanteras kes kecurian benih kerang ini.

“DOF Selangor telah mengumpul informasi dan akan mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap maklumat dan aduan yang disalurkan oleh orang awam atau nelayan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kawasan benih kerang semulajadi adalah kawasan larangan ternakan kerang.

“Lot-lot ternakan yang diluluskan di bawah Lesen SKL oleh DOF Selangor adalah di luar dari kawasan benih kerang semulajadi.

“Tapak kerang semula jadi adalah suatu kawasan di mana benih kerang wujud secara semula jadi.

“Tiada seorang pun boleh mengambil apa-apa anak kerang (bawah 4mm) dari tapak kerang semula jadi atau tapak kerang kultur.

“Malah tiada seorang pun boleh mengambil apa-apa benih kerang (4mm – 25 mm) atau kerang dewasa (25mm ke atas) dari suatu tapak kerang semula jadi atau tapak kerang kultur melainkan jika dia telah diberikan lesen untuk mengambil kerang tersebut,” katanya.

Katanya, DOF Selangor melarang sebarang aktiviti pengambilan benih kerang dan kerang dewasa melalui apa cara sekalipun di kawasan kerang semulajadi melainkan telah dikeluarkan satu lesen kepada individu tersebut.

“Ini termasuk untuk nelayan dan penternak yang menggunakan sebarang kaedah termasuk penggunaan bot berenjin rotor atau enjin ekor biawak.

“DOF Selangor akan berusaha sehabis baik untuk sentiasa melaksanakan tindakan penguatkuasaan bersama agensi-agensi penguatkuasaan lain sama ada di laut mahupun di darat demi mengekang kes kecurian benih kerang.

“DOF Selangor juga sedang merangka program-program baharu bagi mencegah kes kecurian benih kerang.

“Kami memohon kerjasama orang ramai supaya dapat melaporkan segera sebarang kes kecurian benih kerang yang berlaku di negeri ini,” katanya. – MalaysiaGazette