Wan Rosdy Wan Ismail

KUANTAN – Kerajaan Pahang memberi jaminan setiap sen yang disumbangkan menerusi menerusi tabung Pahang4Palestine akan sampai kepada rakyat Palestine di sana.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri  Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pihaknya berhasrat melancarkan penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza pada 20 Mei ini dengan dengan kerjasama Wisma Putra menerusi program Ops Ihsan.

”Saya beri jaminan bahawa setiap sen yang telah disumbangkan itu akan disalurkan terus kepada saudara kita di sana.

”Kerajaan negeri akan menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada saudara kita di Gaza menerusi tabung Pahang4Palestine yang diuruskan sendiri oleh kerajaan negeri” katanya.

Wan Rosdy berkata demikian ketika sesi Ucapan Penggulungan Mesyuarat Pertama Penggal ke-3 Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang hari ini.

Menurutnya Tabung Pahang4Palestine telah dilancar pada 28 Oktober tahun lalu bagi mengutip derma untuk membantu saudara Islam di Gaza yang telah dibunuh, dizalimi dan ditindas oleh Rejim Israel.

Jelasnya, setelah hampir tujuh bulan tabung ini dilancarkan, jumlah kutipan yang berjaya dikumpulkan adalah berjumlah RM1.5 juta.

Wan Rosdy menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua penderma atas keprihatinan nasib malang yang menimpa rakyat Gaza dan menyeru semua pihak mendoakan agar mereka diberikan kekuatan, kesabaran, kesejahteraan dan keselamatan.

”Insya-Allah, pada Isnin depan, saya akan melancarkan penghantaran bantuan dalam bentuk barangan seperti ubat-ubatan, selimut dan makanan ‘ready to eat’ ke Gaza dengan kerjasama Wisma Putra menerusi program Ops Ihsan,” tambahnya. – MalaysiaGazette