GENEVA – Bumi mencatat suhu paling panas bagi bulan Ogos sejak rekod direkodkan, berdasarkan data cuaca yang baharu dikeluarkan, menurut Pertubuhan Meteorologi Dunia (WMO), sambil memaklumkan kesannya dirasai di seluruh dunia.
Hemisfera Utara mencatat musim panas paling panas, manakala Hemisfera Selatan mengalami musim sejuk yang hampir mencatat rekod suhu tertinggi.
Pada masa sama, liputan ais laut di Artik dan Antartika pada Ogos berada di bawah purata.
Eropah Barat dilanda gelombang haba pada Ogos, meneruskan siri cuaca panas ekstrem luar biasa yang bermula sejak Mei, manakala keadaan kemarau teruk dilaporkan di Perancis, Hungary, Romania, Serbia dan Britain.
Sebahagian besar Eropah Tengah dan Timur turut mengalami keadaan kering yang meluas pada Ogos, dalam sesetengah kes berlarutan sejak Mei. Paras aliran air di sungai-sungai utama Eropah, termasuk Rhine, Danube, Southern Bug dan Dnieper, berada pada tahap amat rendah.
Menurut WMO, fenomena El Nino merupakan antara faktor yang mendorong keadaan iklim luar biasa pada Ogos, selain mempengaruhi aktiviti siklon tropika global serta hujan lebat dan banjir di beberapa negara.
Agensi itu berkata, data menunjukkan kesemua 10 Ogos paling panas dalam rekod berlaku sejak 2016. – Agensi
















