RIYADH – Pihak berkuasa Arab Saudi berkata,  dron yang dilancarkan dari Iraq menyebabkan laluan eksport minyak penting yang digunakan untuk mengelakkan sekatan Selat Hormuz terpaksa ditutup sementara.

Riyadh meningkatkan penggunaan saluran paip timur-barat yang menghubungkan Abqaiq, berhampiran Teluk, dengan pelabuhan Yanbu di Laut Merah sejak tercetusnya perang di Asia Barat bagi mengelak penutupan Selat Hormuz oleh Iran.

Kementerian Luar Arab Saudi mengecam tindakan menyasarkan “saluran paip East-West di wilayah Riyadh dan Madinah oleh beberapa dron yang datang dari Iraq, menyebabkan kecederaan kepada manusia dan kerosakan”.

“Saluran paip itu dihentikan sebagai langkah berjaga-jaga dan serangan berkenaan menyebabkan beberapa kecederaan,” kata seorang pegawai Kementerian Tenaga kepada agensi berita SPA sebelum ini.

Imej satelit Copernicus Sentinel Data yang dirakam pada Khamis menunjukkan kepulan asap hitam berhampiran Madinah, di sepanjang laluan umum saluran paip timur-barat yang membawa minyak Arab Saudi ke pantai Laut Merah.

Pejabat Perdana Menteri Iraq, Ali al-Zaidi, mengesahkan serangan itu berpunca dari wilayah Iraq dan memaklumkan komander yang bertanggungjawab ke atas wilayah selatan Maysan telah dipecat.

Kerajaan Iraq berkata, pihaknya mengecam “serangan yang menyasarkan Kerajaan Arab Saudi yang berpunca dari satu lokasi dalam wilayah berkenaan.

Riyadh berkata, atas permintaan Perdana Menteri Iraq, pihaknya memilih “untuk tidak bertindak balas pada peringkat ini dan menyokong usaha kerajaan Iraq… bagi mencegah serangan yang dilancarkan dari Iraq terhadap Kerajaan dan negara jiran”.

Arab Saudi sebelum ini menuduh kumpulan pemberontak Iraq yang disokong Iran menyasarkan infrastruktur minyaknya.

Bagaimanapun, kerajaan itu menegaskan, Arab Saudi “berhak mengambil semua langkah yang perlu bagi melindungi kedaulatan, keselamatan, kemudahan dan rakyatnya”.

Bahrain, Jordan dan Qatar turut mengecam serangan terhadap saluran paip minyak Arab Saudi, manakala Majlis Kerjasama Teluk (GCC) menyifatkannya sebagai “peningkatan berbahaya dan ancaman tidak boleh diterima terhadap keselamatan Kerajaan”.

Harga minyak meningkat melepasi AS$100 setong minggu ini, manakala harga purata diesel di Amerika Syarikat melepasi AS$6 buat kali pertama pada Jumaat, yang berpotensi menjadi cabaran kepada Presiden Donald Trump menjelang pilihan raya pertengahan penggal.

Pemberontak Houthi yang disokong Iran di Yemen pada Julai lalu mengumumkan sekatan maritim terhadap Arab Saudi, yang menyokong Kerajaan Yemen, dengan menyerang kapal tangki minyaknya di Laut Merah.

Selepas menguasai pantai Laut Merah Yemen dan beberapa pulau di Selat Bab el-Mandeb, Houthi mengukuhkan penguasaan mereka ke atas laluan strategik yang menghubungkan Eropah dan Asia.

Houthi berkata, pelayaran melalui Selat Bab al-Mandab adalah “selamat” untuk semua pihak kecuali Arab Saudi susulan kemaraan terbaharu mereka. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here