‘KUALA LUMPUR – Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan agensi berkaitan digesa supaya tidak lagi bersikap reaktif hanya selepas berlakunya tragedi serangan anjing liar yang meragut nyawa atau mencederakan kanak-kanak.
Menerusi satu kenyataan, Pesuruhjaya Kanak-Kanak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) berkata, langkah pencegahan secara proaktif perlu diambil atas dasar keselamatan kanak-kanak memandangkan golongan itu amat mudah berdepan haiwan agresif.
Teguran itu menyusul ekoran insiden terbaharu membabitkan seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun, Nur Haira Wafiqah yang mengalami kecederaan parah selepas diserang lima ekor anjing liar di luar rumah neneknya di Peserai, Batu Pahat, Johor baru-baru ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi pada 5 September lalu, mangsa mengalami kecederaan di hampir seluruh badan dan terpaksa dipindahkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru bagi mendapatkan rawatan lanjut akibat kecederaan serius yang dialaminya.

Terbaharu, pagi semalam, seorang pelajar tingkatan satu diserang seekor dari tujuh anjig liar di Melaka ketika dalam perjalanan ke sekolah di Krubong, Melaka.
Dalam kejadian kira-kira 7.20 pagi itu, Muhammad Anas Fakhry Mohamad Azdly Shah, 13, yang sedang menunggang basikal dari Taman Krubong Perdana menuju ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Krubong dikejar sekumpulan enam hingga tujuh ekor anjing.
Pesuruhjaya Kanak-Kanak menambah, kejadian berkenaan tidak boleh dilihat sebagai insiden terpencil memandangkan sekurang-kurangnya lapan kes serius dilaporkan media sejak tahun 2023 membabitkan serangan anjing berkeliaran terhadap kanak-kanak, termasuk yang mengakibatkan kematian.
Antara kes yang direkodkan menerusi laporan media membabitkan tiga kematian kanak-kanak iaitu di Semporna pada 2024, Sungai Buloh pada 2025 dan kes terbaharu di Kuching tahun ini membabitkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun yang meninggal dunia akibat jangkitan rabies.
“Kanak-kanak mempunyai hak untuk hidup, bermain dan pergi ke sekolah dalam persekitaran yang selamat.
“Saiz fizikal mereka yang kecil serta keupayaan yang terbatas untuk mempertahankan diri menyebabkan golongan ini amat mudah terdedah kepada bahaya serangan haiwan agresif,” jelas kenyataan itu.
Pada masa sama, Suhakam menggesa Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), kerajaan negeri serta PBT dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) untuk segera memetakan kawasan panas anjing liar sering berkeliaran.
“Fokus utama pemantauan harus diberikan di lokasi tumpuan kanak-kanak seperti persekitaran sekolah, taska, tadika, taman permainan, Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan kawasan perumahan.
“Pihak berkuasa juga perlu memberi keutamaan kepada aduan awam membabitkan anjing liar berkumpulan serta menetapkan prosedur operasi standard (SOP) dan mekanisme tindakan susulan yang jelas bermula daripada penerimaan aduan hingga ke peringkat pemantauan,” ujar kenyataan itu lagi.
Jelasnya lagi, operasi tangkapan bersepadu antara PBT dan DVS perlu dilaksanakan secara berterusan tanpa menunggu sehingga berlakunya kecederaan serius.
“Suhakam turut menyarankan pembentukan sistem pengumpulan data nasional yang lebih kukuh mengenai serangan haiwan membabitkan kanak-kanak bagi memantau tahap kecederaan, umur mangsa dan risiko penyakit seperti rabies.
“Bagi penyelesaian jangka panjang, pengurusan populasi haiwan perlu merangkumi kesedaran pemilikan yang bertanggungjawab, pendaftaran dan pelesenan, pensterilan berasaskan bukti serta kawalan sisa makanan secara berkesan dengan kerjasama komuniti dan badan bukan kerajaan (NGO),” katanya. – MalaysiaGazette
















