MELAKA – Kementerian Pengangkutan (MoT) tidak pernah membenarkan penyedia aplikasi perkhidmatan pengangkutan e-hailing menggunakan sistem bidaan harga kepada penumpang.
Menterinya, Anthony Loke berkata, beliau sudah mengarahkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) menyemak sistem berkenaan yang digunakan pemandu e-hailing ketika ini.
“Tidak (e-hailing sistem bidaan) itu saya rasa sesuatu yang APAD akan lihat perkara ini sebab memang kita tidak dimaklumkan lagi.
“Saya akan minta APAD untuk lihat perkata itu (tapi) setakat ini memang tak ada apa-apa yang kita benarkan lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Sambutan Ulang Tahun Hari JPJ Ke-78, Digitalisasi Memacu Profesionalisme Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Akademi Pengangkutan Jalan Malaysia, Ayer Molek, di sini hari ini.
Hadir sama Timbalannya, Hasbi Habibollah, Ketua Pengarah JPJ, Datuk Rospiagos Taha dan Pengarah JPJ Negeri Muhammad Firdaus Shariff.
Anthony berkata demikian ketika ditanya apakah tindakan kementerian terhadap kewujudan aplikasi e-hailing menggunakan sistem bidaan yang semakin menjadi pilihan ketika ini.
Melalui aplikasi itu, pemandu e-hailing boleh meletakkan harga sendiri bagi satu jarak perjalanan yang ditempah pelanggan sebelum dibida pelanggan berkenaan sekiranya kadar tambang itu dipersetujui.
Penggunaan sistem itu menimbulkan pelbagai persepsi dalam kalangan pengguna perkhidmatan awam yang seolah-olah memaksa penumpang membayar harga lebih tinggi dan lebih menguntungkan pemandu.
Sementara itu, Ahli Parlimen Seremban itu berkata, MoT merancang untuk menubuhkan Akademi Pengangkutan Jalan Wilayah Borneo pada masa hadapan.
“Kita lihat ada keperluan dan lebih baik untuk sebuah akademi diwujudkan di sana untuk melatih anggota Sabah dan Sarawak namun ini masih dalam peringkat perancangan dan belum mendapat kelulusan bajet.
“Permohonan pembinaan akademi itu sudah dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (Rolling Plan 5),” tambahnya.
Jelas beliau, rancangan itu dilihat suatu keperluan bagi memperkasakan latihan serta kompetensi sumber manusia
apabila terdapat 786 pegawai JPJ di Sabah dan 739 pegawai JPJ di Sarawak.
Ketika ini, Akademi Pengangkutan Jalan hanya beroperasi di Semenanjung Malaysia iaitu Kampus Induk di Melaka, Wilayah Selatan di Johor, Wilayah Timur di Kelantan dan Wilayah Utara di Pulau Langkawi, Kedah. – MalaysiaGazette