Duta Besar Turkiye Emir Salim (dua kiri), Komander Serkan Dogan (dua kanan) dan yang lain bergambar bersama ketika Ketibaan Kapal Perang Tentera Laut Turki, (TCG KINALIADA F154) di Terminal Cruise Pelabuhan Klang, Pulau Indah. Foto SYADILA AMARI, 13 MEI 2024.

PELABUHAN KLANG – Malaysia menjadi destinasi keenam persinggahan kapal perang TCG Kinaliada F514 milik Turki sebagai meraikan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik dua hala antara negara itu.

Duta Turki ke Malaysia, Emir Salim Yuksel berkata, Malaysia menerima lawatan kapal perang milik Turkiye itu selepas sembilan tahun dan ini merupakan kali pertama seumpamanya.

“Persinggahan kapal tentera laut ini sempena meraikan hubungan diplomatik Turkiye-Malaysia ke-60.

“Lawatan ini menunjukkan hubungan Turkiye-Malaysia adalah sangat rapat, kita cuba sentiasa bersama Malaysia dalam setiap keadaan,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Turut hadir Komander Serkan Dogan.

Ketibaan Kapal Perang Tentera Laut Turki TCG Kinaliada F514 singgah di Terminal Cruise Pelabuhan Klang, Pulau Indah. Foto SYADILA AMARI, 13 MEI 2024.

Terdahulu kapal perang TCG Kinaliada F514 milik Turkiye berlabuh di Terminal Cruise, di sini sempena siri lawatan diplomatik melibatkan 20 negara dan 24 pelabuhan.

Antaranya Jeddah, Arab Saudi; Djibouti, Afrika; Mogadishu, Somalia; Male, Maldives; Chittagong, Bangladesh, Kuala Lumpur, Malaysia; Jakarta, Indonesia, Bangkok, Thailand; Hong Kong, China; Busan, Korea Selatan; Kushimoto, Tokio dan Hiroshima, Jepun; Manila, Filipina; Singapura; Colombo, Sri Lanka; Mumbai, India; Muscat, Oman; Doha, Qatar; Abu Dhabi, Emirates Arab Bersatu; Karachi, Pakistan dan dan Aqabah, Jordan.

Selain itu, katanya, persinggahan TCH Kinaliada ini sebagai bukti kesediaan Turkiye dan Malaysia dalam mengangkat kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk pertahanan.

“Kunjungan ini bukti kesediaan dua negara dalam mengangkat kerjasama pelbagai bidang termasuk pendidikan, teknologi, sains, pertahanan dan banyak lagi ke tahap yang lebih baik dan lancar.

“Kunjungan ini merupakan usaha mengukuhkan hubungan dua hala Malaysia dan Turkiye yang telah dinaik taraf kepada Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP),” katanya.

Untuk rekod, TCG Kinaliada yang siap dibina pada 29 September 2019 merupakan kapal keempat dihasilkan di bawah projek korvet kebangsaan Turki (MİLGEM) yang memulakan pelayaran dari Izmir, 9 April lalu.

Pelayaran ini bagi meraikan ulang tahun ke-100 hubungan diplomatik Turkiye-Jepun serta memperingati ulang tahun ke-134 tenggelamnya kapal frigat Uthmaniyyah Ertuğrul akibat taufan ketika lawatan ke Jepun. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast