KUALA LUMPUR – Parti Keadilan Rakyat (PKR) cabar Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengemukakan bukti berhubung dakwaannya bahawa Amerika Syarikat (AS) pernah menawarkan bantuan untuk menjatuhkan kerajaan.
Timbalan Setiausaha Agung PKR, Sivamalar Genapathy berkata, Abdul Hadi tidak boleh membiarkan dakwaan itu berlalu sebagai retorik semata-mata kerana ia amat serius dan menyentuh soal kedaulatan negara, keselamatan nasional serta kemungkinan campur tangan kuasa asing dalam demokrasi Malaysia.
Tegasnya, jika Presiden Pas gagal mengemukakan bukti sahih maka beliau bertanggungjawab untuk membuat permohonan maaf.
“Jika benar sebuah kuasa asing pernah menawarkan bantuan kepada pemimpin sebuah parti politik untuk menjatuhkan kerajaan Malaysia, ia merupakan perkara yang menyentuh kedaulatan negara, keselamatan nasional dan kemungkinan campur tangan asing dalam demokrasi kita.
“Tan Sri Abdul Hadi tidak boleh sekadar membuat dakwaan sebesar ini di pentas Muktamar kemudian menganggap perkara itu selesai. Kemukakan bukti,” katanya menerusi kenyataan.
Dalam masa yang sama, Sivamalar mendesak Abdul Hadi mendedahkan identiti pegawai AS yang didakwa membuat tawaran itu, lokasi dan tarikh pertemuan, bentuk bantuan yang ditawarkan serta pihak yang hadir.
Beliau turut mempersoalkan mengapa perkara itu tidak didedahkan atau dilaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya Pas mengetahui mengenai dakwaan campur tangan asing tersebut sejak 2014.
“Adakah ia pernah dilaporkan kepada pihak polis, Wisma Putra, Majlis Keselamatan Negara atau Perdana Menteri ketika itu? Jika tidak, mengapa?” soalnya.
Tambahnya, isu itu semakin menimbulkan persoalan apabila kenyataan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengenai pertemuan tersebut dilaporkan tidak sepenuhnya menyamai dakwaan yang dibuat oleh Abdul Hadi.
“Ini bukan soal mempertahankan Amerika Syarikat. Ini soal mempertahankan maruah dan kedaulatan Malaysia.
“Jika dakwaan Tan Sri Abdul Hadi benar, negara berhak mengetahui keseluruhan kebenaran dan tindakan sewajarnya mesti diambil terhadap sebarang campur tangan asing.
“Tetapi jika beliau tidak mampu membuktikannya, beliau juga perlu bertanggungjawab kerana telah membuat satu tuduhan luar biasa yang boleh menjejaskan hubungan diplomatik Malaysia dan mencemarkan kredibiliti negara di mata dunia,” katanya.
Semalam media melaporkan, Abdul Hadi mendakwa pernah ditawarkan oleh AS supaya parti itumenjatuhkan kerajaan dan mengambil alih pemerintahan negara.
Namun, hari ini Amerika Syarikat menerusi kenyataan Chargé d’Affaires (Ketua Misi) Kedutaan AS di Kuala Lumpur, David H. Gamble Jr. menafikan dakwaan tersebut. – MalaysiaGazette
















