Tangkap layar menunjukkan berlaku pergaduhan antara suspek dengan penguat kuasa MBPP.

GEORGE TOWN – Dua peniaga ketam nipah yang ditahan bagi membantu siasatan menumbuk penguat kuasa Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) di Pasar Awam Jelutong di sini, direman selama dua hari bermula hari ini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid berkata, perintah reman terhadap dua suspek yang berusia 23 dan 35 tahun  dikeluarkan majistret bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan.

“Kita peroleh reman selama dua hari iaitu pada 10 dan 11 Mei ini terhadap kedua-dua suspek dan siasatan lanjut berhubung kes ini masih dijalankan,” katanya ketika dihubungi.

Dua peniaga ketam nipah (baju merah dan oren) dibawa ke Mahkamah Majistret Pulau Pinang bagi mendapatkan perintah reman.

Semalam, polis menahan dua peniaga berkenaan pukul 1 tengah hari selepas menerima laporan daripada penguat kuasa MBPP yang mereka dikasari peniaga ketika membuat pemeriksaan lesen berniaga kira-kira 9.20 pagi di Pasar Awam Jelutong di sini.

Razlam berkata, peniaga ketam nipah tersebut dikatakan pernah diberi amaran sebelum ini susulan tidak mempunyai lesen berniaga.

“Bagaimanapun, berlaku pertengkaran mulut dan provokasi sebelum peniaga berkenaan bertindak agresif serta menumbuk salah seorang penguat kuasa di bahagian muka,” katanya. – MalaysiaGazette