SEKINCHAN – Sindiket pencurian benih kerang yang pernah digempur pihak berkuasa kira-kira empat tahun lalu berdekatan pantai Sungai Leman di sini, kini kembali aktif.

Sumber MalaysiaGazette memberitahu, sindiket itu yang sebelum ini mencuri hasil laut pada waktu malam, kini lebih berani secara terang-terangan sejak jam 9.30 pagi tadi.

MalaysiaGazette difahamkan, lebih 200 bot ekor biawak digunakan sindiket yang sama untuk mengutip benih kerang dan mentarang itu.

Lebih malang apabila sindiket ini didakwa merompak hasil laut dari kawasan kebun kerang yang terletak lebih kurang 0.5 batu nautika dari pantai Sungai Leman, di sini.

Kehadiran puluhan bot ekor biawak itu disedari penduduk setempat khususnya persatuan nelayan selepas mendengar deruman enjin bot itu kira-kira jam 9 pagi.

“Kali ini sindiket lebih berani mencuri benih kerang dan mentarang pada waktu siang, berbanding sebelum ini pada waktu malam.

“Ribuan benih kerang mati dan hancur selepas terkena bilah bot ekor biawak yang memecut laju berulang kali di kawasan ini.

“Aktiviti mencuri ini antara punca harga kerang melambung tinggi hingga RM15 sekilogram,” katanya sumber kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Sebelum ini, MalaysiaGazette melaporkan Pejabat Perikanan Daerah Sabak Bernam dan Cawangan Sumber Pelabuhan Klang, Jabatan Perikatan Negeri Selangor menahan sebuah kenderaan jenis Proton Wira milik seorang lelaki warga tempatan di kawasan berhampiran pantai Sungai Leman, di sini, 17 Disember 2020.

Hasil pemeriksaan mendapati sebanyak 10 guni anak kerang yang telah disimpan di dalam tempat penyimpanan kereta.

Turut ditemui sebanyak 10 guni anak kerang berhampiran kenderaan terbabit dengan jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan sebanyak RM 20,000.

Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985, Seksyen 3(1) Peraturan-Peraturan Perikanan (Pemuliharaan dan Kultur Kerang) 2003, di mana tiada seorang pun boleh mengambil apa-apa anak kerang dari suatu tapak kerang semulajadi atau tapak kerang kultur.

Selain itu, sumber MalaysiaGazette turut memberitahu, sindiket yang didalangi penduduk tempatan juga memperoleh sehingga RM800,000 hasil curi itu bagi satu-satu musim.

“Satu tin benih kerang di pasaran ketika ini RM1,050 dan setiap kali mereka turun laut mencuri, mereka boleh memperoleh sehingga RM6,000 bagi setiap bit ekor biawak ini,” katanya.

Lebih memeranjatkan, sindiket mempunyai kira-kira 200 bot ekor biawak yang digunakan untuk mencuri benih kerang.

“Tidak hairanlah sindiket ini hidup mewah dan memilik aset yang luar biasa tanpa dihidu pihak berkuasa,” katanya.

Sumber MalaysiaGazette turut mendakwa, kegiatan itu kembali berleluasa kerana dilindungi pihak tertentu dengan bayaran sehingga RM2,500 bagi setiap bot ekor biawak.

“Kita harap pihak berkuasa khususnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dapat menyiasat perkara ini kerana dipercayai melibatkan salah guna kuasa dan rasuah.

“Jenayah ini perlu dihentikan untuk melindungi punca pendapatan nelayan kecil di sini yang terjejas akibat kebun kerang mereka diceroboh dan dirompak sindiket ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette