default

SEKINCHAN – Komuniti nelayan di sini melahirkan rasa kesal apabila habibat semula jadi kerang di pantai Sungai Leman di sini terus dicuri meskipun sudah membuat beberapa aduan kepada pihak berkuasa sejak seminggu lalu.

Sumber MalaysiaGazette mendakwa, meskipun aktiviti jenayah itu sudah dilaporkan kepada Jabatan Perikanan Selangor (DOF), namun setakat ini tiada tangkapan mahupun rampasan dilakukan pihak berkuasa terbabit.

Sumber berkata, saban hari komuniti nelayan hanya mampu melihat dengan mata kepala sendiri dan tidak berupaya berbuat apa-apa.

“Kami buntu, walaupun perkara ini sudah dimaklumkan terus kepada pengarah DOF, namun janji tinggal janji, tiada tindakan tegas diambil kepada penjenayah ini.

“Ada anggota penguatkuasa DOF datang memantau, tetapi mereka tidak buat apa-apa, hanya datang duduk di kedai minum, lepas itu balik.

“Mereka beri alasan tiada jentera dan keupayaan untuk mendekati bot ekor biawak yang rakus mencuri benih kerang di pesisir pantai yang berlumpur,” dakwa sumber kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Sindiket menggunakan bot ekor biawak untuk mencuri ribuan benih kerang di perairan pantai Sungai Leman, Sekinchan, Selangor.
Sindiket menggunakan bot ekor biawak untuk mencuri ribuan benih kerang di perairan pantai Sungai Leman, Sekinchan, Selangor.

Sebelum ini, MalaysiaGazette mendedahkan kira-kira 200 bot ekor biawak kerang mencuri ribuan benih kerang di lot hasil laut semulajadi itu kira-kira 0.5 batu nautika dari pantai Sungai Leman di sini, sejak 28 Disember 2023.

Susulan kecurian itu, Pengarah DOF Selangor, Noraisyah Abu Bakar mengesahkan pengambilan benih kerang itu hanya berlaku di lot-lot haram yang hidup secara semulajadi di perairan di sini.

Noraisyah juga mengesahkan terdapat tiga pengusaha di lot kerang berdaftar di perairan Sekinchan dan kes kecurian seperti yang dilaporkan bukan berlaku di lot pengusaha tersebut.

Beliau berkata, ternakan kerang di perairan lautan Malaysia dikawal sepenuhnya di bawah Akta Perikanan 1985 Seksyen 61, di mana Peraturan-peraturan Perikanan (Sistem Kultur Laut) 1990 dan Peraturan-peraturan Perikanan (Pemuliharaan dan Kultur kerang) 2002 dikuatkuasakan.

Jelasnya, tapak semula jadi benih kerang serta Projek Kebun Kerang Selangor tidak terkecuali, mana-mana orang yang menjalankan aktiviti mahupun ternakan kerang di perairan Selangor wajib mematuhi peraturan.

Dalam pada itu, sumber mendakwa, sindiket tempatan akan mengupah ratusan pekerja warga asing untuk melakukan jenayah itu.

“Dalang pencurian benih kerang ini didalangi orang tempatan, penduduk di sini kenal siapa dia, guna warga asing untuk elak dihidu pihak berkuasa,” kata sumber lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast