Gambar hiasan

BALIK PULAU – Polis menahan dua lelaki yang terlibat penipuan phone scam serta pembelian hartanah membabitkan kerugian berjumlah RM565,000 dalam dua serbuan berasingan di Bayan Baru di sini dan Pandamaran, Selangor.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, tangkapan ejen hartanah itu dibuat hari ini di Bayan Baru selepas pihaknya menerima laporan daripada lelaki berusia 44 tahun.

“Peniaga tersebut mendakwa diperdaya suspek berusia 38 tahun dalam urusan pembelian rumah membabitkan kerugian berjumlah RM216,00.

Peniaga berusia 38 tahun ditahan di Bayan Baru, Pulau Pinang susulan didapati terlibat dalam penipuan pembelian hartanah.

“Tangkapan kedua pula dilakukan di Pandamaran membabitkan suspek berusia 19 tahun.

“Semakan mendapati suspek disyaki keldai akaun dengan menyerahkan akaun bank miliknya kepada individu yang dikenali secara dalam talian ketika mahu melakukan pinjaman wang,” katanya, hari ini.

Menurut Kamarul Rizal, siasatan lanjut mendapati akaun suspek digunakan oleh sindiket phone scam dengan menyamar sebagai pegawai bank sebelum memperdayakan seorang wanita berusia 43 tahun.

Suspek berusia 19 tahun ditahan di Selangor.

“Pekerja kilang itu membuat laporan selepas mengalami kerugian berjumlah RM349,000 akibat dipercaya sindiket tersebut.

“Mangsa melakukan 26 transaksi secara dalam talian terhadap lapan akaun bank berbeza dan salah satunya milik suspek,” katanya.

Tambah beliau, kedua-dua suspek yang tidak mempunyai rekod lampau itu kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette