KOTA KINABALU – Lebih 1,000 peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor ditawarkan sepanjang Karnival Kerjaya MyFuture Jobs @ MOHE Zon Borneo yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) untuk anak-anak tempatan, khususnya graduan institut pengajian tinggi (IPT).
Karnival itu anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi dengan melibatkan kolaborasi strategik antara Universiti Malaysia Sabah (UMS), Jabatan Pengurusan Sumber Manusia (JPSM) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Sabah.
Sebanyak 23 majikan daripada pelbagai sektor dan industri menyertai karnival kali ini.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Mustapha Sakmud yang merasmikan karnival itu berkata, karnival ini merupakan usaha kerajaan yang berterusan dalam memastikan pencari kerja termasuk golongan rentan mendapat peluang pekerjaan dari pelbagai sektor sekali gus menangani isu pengangguran dan kehilangan pekerjaan yang dialami oleh rakyat Malaysia.
“Justeru, platform seperti karnival kerjaya, sesi dialog di antara industri dan akademia serta siri kolaborasi program seperti ini haruslah dilaksanakan secara berkala,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Pada majlis itu, Mustapha turut menyerahkan sijil tawaran bekerja kepada beberapa siswazah yang berjaya dan menyerahkan sijil penghargaan kepada rakan kolaborasi daripada JPSM dan Perkeso Sabah.
Tambah beliau, menurut Statistik melalui Sistem Kajian Pengesanan Graduan (SKPG) yang dikeluarkan KPT pada tahun 2022, jumlah graduan siswazah yang menganggur dicatatkan seramai 29,099 graduan, iaitu menurun sebanyak 12,368 graduan berbanding tahun sebelumnya iaitu 41,467 graduan.
“Kadar pengangguran siswazah pada 2022 menurun sebanyak 4.7 peratus kepada 9.8 peratus berbanding 14.5 peratus pada tahun sebelumnya, manakala bagi negeri Sabah, Kadar Belum Kerja Graduan turut mencatatkan penurunan pada tahun 2022 sebanyak 7.6% kepada 14.2% berbanding tahun 2021 sebanyak 21.8%.
“Ini menunjukkan hasil usaha bersama pelbagai pihak, tahap kebolehpasaran graduan semakin meningkat sementara peluang pekerjaan juga semakin bertambah terutama pada era pasca pandemik,” ujarnya.
Mustapha berkata, IPT awam mahupun swasta perlu memastikan usaha menyediakan graduan berkualiti, bersifat global dan sentiasa relevan dilaksanakan sebaiknya agar dapat memasuki pasaran kerja tempatan dan juga berupaya menembusi pasaran kerja antarabangsa.
“Graduan juga perlu didedahkan dan mempunyai kemahiran berfikir secara kritis, kepimpinan, kerja berpasukan dan mempunyai karakter global.
“Dunia pekerjaan dengan ketidaktentuan ekonomi hari ini amat mencabar, untuk itu para graduan perlu bersedia untuk bersaing demi pekerjaan dan masa depan,” jelasnya.
Majlis turut dihadiri Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMS, Prof. Dr. Shahril Yusof dan dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Prof. Madya Dr. Raman Noordin.– MalaysiaGazette