GEORGE TOWN – Dua rakan kepada warga Nigeria yang maut terjun dari tingkat 16 sebuah kondomonium di Batu Uban di sini ketika melarikan diri daripada serbuan polis direman selama tujuh hari.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid berkata, kedua-dua suspek berusia 36 dan 38 tahun itu direman mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1957 bermula semalam.

“Dua suspek itu merupakan warga Nigeria dan kita sedang menunggu maklum balas daripada pihak Imigresen berhubung status termasuk tempoh mereka berada dalam negara.

“Berdasarkan keterangan secara lisan mereka mengaku pelajar kolej namun kita kena dapatkan maklumat daripada imigresen untuk pengesahan.

“Siasatan lanjut berhubung kes ini masih dijalankan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut di sini hari ini.

Difahamkan, dalam serbuan di rumah sewa suspek berkenaan, polis turut merampas 1.8 kilogram pil estasi serta 30 gram syabu.

ARTIKEL BERKAITAN:

Lelaki Nigeria lari serbuan polis ditemui mati

MalaysiaGazette pada Ahad lalu melaporkan seorang lelaki warga Nigeria maut selepas bertindak terjun dari tingkat 16 sebuah pangsapuri di Batu Uban di sini ketika cuba melarikan diri daripada serbuan polis.

Mayat pelajar sebuah universiti swasta itu ditemui di tingkat dua pangsapuri terbabit dalam keadaan terbaring.

Lelaki berusia 37 tahun itu dikatakan melarikan diri selepas rumah sewanya di serbu sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang kira-kira jam 6 petang. – MalaysiaGazette