Lelaki warga Nigeria maut selepas bertindak terjun dari tingkat 16 ketika melarikan diri daripada serbuan polis di Batu Uban, Pulau Pinang.

GEORGE TOWN – Seorang lelaki warga Nigeria maut selepas bertindak terjun dari tingkat 16 sebuah kondominium di Batu Uban di sini  ketika cuba melarikan diri daripada serbuan polis.

Mayat pelajar sebuah universiti swasta itu ditemui di tingkat dua kondominium terbabit dalam keadaan terbaring serta berlumuran darah.

Lelaki berusia 37 tahun itu dikatakan melarikan diri selepas rumah sewanya apabila diserbu sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang kira-kira pukul 6 petang semalam.

Razlam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid berkata, hasil siasatan mendapati rumah tersebut diserbu pihak polis namun suspek bertindak menguncikan pintu rumah selepas pasukan serbuan memperkenalkan diri.

Susulan itu, polis memecahkan pintu rumah tersebut untuk pemeriksaan lanjut sebelum mendapati seorang lelaki Nigeria berada di dalamnya namun bukan suspek terbabit yang membuka pintu sebelum itu.

“Pasukan serbuan kemudian membuat pemeriksaan dalam rumah itu namun gagal menemui individu lain sebelum melihat ada mayat di bahagian bawah pangsapuri.

“Semakan lanjut pasukan serbuan turut membawa kepada tangkapan seorang lagi suspek di tingkat lapan dan dia dipercayai melarikan diri bersama suspek yang meninggal dunia itu,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian malam tadi.

Pasukan Forensik sedang menjalankan siasatan di lokasi kejadian.

Tambah Razlam, pihaknya turut menemui sejumlah dadah jenis syabu serta pil ekstasi di dalam rumah tersebut.

“Siasatan lanjut berhubung kes ini masih dijalankan dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk proses bedah siasat.

“Kes kematian itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) manakala bagi dua lagi suspek pula disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah  Berbahaya 1952,” katanya.

Pihak bomba dipanggil bagi membantu menurunkan mayat suspek.

Sementara itu, Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak Fauzian Izzuan Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan bantuan khas mengangkat mayat daripada pihak polis pukul 9.21 malam.

“Sebaik tiba kita dapati ada mayat seorang lelaki di bahagian belakang koridor tingkat dua kondominium tersebut.

“Susulan itu kami menggunakan stretcher (pengusung) untuk membawa turun mayat itu sebelum serahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut,” katanya. – MalaysiaGazette