Azam Baki.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menghantar permohonan untuk mendapatkan maklumat terkini daripada pihak berkuasa Jerman berhubung empat buah kereta mewah yang dikaitkan dengan siasatan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya telah memulakan siasatan berhubung rampasan aset yang dikaitkan dengan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sejak 2020.

Tambah beliau, SPRM telah memohon Bantuan Perundangan Bersama (MLA) ke Switzerland untuk mendapat maklumat tentang aset beku berkaitan kes 1MDB pada bulan November 2020.

“Ini diikuti dengan mesyuarat dengan Pejabat Peguam Negara Switzerland (OAG) berkaitan 50 kereta mewah yang terlibat dalam siasatan 1MDB pada tahun 2021.

“Selanjutnya pada Mac 2022, satu mesyuarat dengan OAG telah diadakan di Switzerland untuk membincangkan kemajuan permohonan MLA dan mendapatkan maklumat lanjut,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Media Jerman, Bild melaporkan polis negara itu menyita empat buah kereta mewah model Bugatti Veyron di Munich yang dikaitkan dengan siasatan kes 1MDB.

Menurutnya, kesemua kenderaan edisi khas itu dirampas dari sebuah kemudahan penyimpanan persendirian di bandar tersebut.

Empat kenderaan itu ialah Rembrandt edisi Veyron, Black Bess, Jean-Pierre Wimille dan Meo Constantini dengan setiap kereta berharga lebih AS$3 juta (kira-kira RM14.3 juta).

Menurut Azam, SPRM juga telah meminta maklumat daripada pihak berkuasa Jerman mengenai dana bon 1MDB yang digunakan untuk membeli kereta mewah di Jerman pada 26 Oktober 2022. – MalaysiaGazette