Keadaan sebuah pesawat yang sedang menjalani latihan di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM), Batu Berendam yang dipercayai gagal mendarat dengan baik menyebabkan tayar hadapannya tertanggal.

MELAKA – Sebuah pesawat yang sedang menjalani latihan di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM), Batu Berendam, di sini, dipercayai gagal mendarat dengan baik menyebabkan tayar hadapannya tertanggal.

Dalam kejadian pukul 3.07 petang tadi, juruterbang pelatih pesawat berkenaan dilaporkan tidak mengalami kecederaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Datuk Kapten Norazman Mahmud berkata, insiden itu melibatkan pesawat latihan jenis Piper PA-28-181.

“Pesawat latihan yang dikendalikan oleh International Aero Training Academy (IATAC) dengan nombor pendaftaran 9M-ITX itu juga telah dialihkan dari landasan pada pukul 3.35 petang dan dibawa ke hangar berhampiran untuk pemeriksaan lanjut.

“Lapangan terbang tersebut kembali beroperasi pada pukul 4.12 petang selepas semua pemeriksaan keselamatan selesai dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, siasatan lanjut berhubung insiden itu dilaksanakan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara di bawah Kementerian Pengangkutan mengikut Bahagian XXVI Peraturan-peraturan Penerbangan Awam 2016. – MalaysiaGazette