Ayob Khan Mydin Pitchay. Foto MUHD NA’IM,25 JULAI 2023.

KUALA LUMPUR – Seramai tiga lagi individu termasuk seorang wanita yang ditahan kerana disyaki terlibat dengan sindiket pengedaran dadah Geng Upik di Sabah akan diheret untuk menghadapi pertuduhan di mahkamah pada 1 Mac depan.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kesemua individu itu berusia 25 hingga 29 tahun dan kini berada dalam tahanan di pusat pemulihan akhlak di Sabah.

“Siasatan mendapati mereka juga merupakan anggota sindiket pengedaran dadah dan ketiga-tiga mereka berkemungkinan memainkan peranan sebagai transporter untuk sindiket dadah tersebut.

“Kesemua individu itu akan dituduh pada 1 Mac ini di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu, Sabah nanti,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Semalam, seramai 11 individu termasuk seorang bergelar Datuk telah didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang Geng Upik di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu, Sabah.

Kesemua individu itu telah didakwa melakukan kesalahan di Kota Kinabalu di bawah Seksyen 130 V (1) Kanun Keseksaan, Akta 574 dan boleh dihukum mengikut seksyen yang sama.

Berdasarkan fakta pertuduhan, masing-masing terduduh didakwa melakukan kesalahan bermula 2015 hingga 24 Disember tahun lalu.

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Nazran Mohd Sham di hadapan Hakim Noor Hafizah Mohd Salim.

Bagaimanapun tiada pengakuan dirakam terhadap tertuduh, manakala mahkamah menetapkan 1 Mac depan sebgai tarikh sebutan semula kes tersebut.

Pada 25 Disember lalu, polis menahan seorang ahli perniagaan bergelar Datuk kerana disyaki mendalangi sindiket pengedaran dadah terbesar di Sabah menerusi siri serbuan yang dilakukan polis Bukit Aman.

Lelaki itu turut menaungi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi melindungi kegiatan haramnya yang dilakukan secara aktif sejak 2015 lagi.

Sindiket berkenaan juga dikesan melakukan pengubahan wang haram melalui pelbagai perniagaan mewah yang dijalankan ahli sindiketnya termasuk syarikat minyak dan gas serta rangkaian restoran.- MalaysiaGazette