Orang ramai meluangkan masa pada cuti hujung minggu sempena pembukaan Tun Razak Exchange (TRX) pada 29 November yang lalu dan bakal menjadi destinasi tumpuan bagi aktiviti membeli-belah serta beriadah ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 03 DISEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Semasa diperkenalkan, projek TRX di ibu negara pernah menerima sindiran dengan sesetengah pihak menjangkakan ia bakal menjadi gajah putih.

Namun begitu, TRX Mall kini mencuri perhatian, malahan memberi tamparan kepada kompleks membeli-belah lain yang selesa dengan kedudukan mereka sebelum ini.

“Kejayaan Pusat Membeli-belah TRX yang luar biasa memang mengejutkan. Sebelum pembukaan, kami menjangkakan kadar premis kosong yang lebih tinggi, tetapi keadaan ini tidak berlaku.

“Sebaliknya, hampir semua premis telah disewakan dan populariti TRX masih tinggi pada masa ini. Ini memang sesuatu yang berada di luar jangkaan,” kata Penganalisis Institut Penyelidikan RHB, Loong Kok Wen kepada Nanyang Siang Pau.

Katanya, kedai jenama antarabangsa yang banyak berserta “taman udara” memenuhi cita rasa pasaran sehingga menggugat pesaing lain seperti Suria KLCC, Pavillion, Mid Valley dan Sunway Pyramid.

“Pusat membeli-belah yang sudah popular jangan ingat lokasi strategik semata-mata sudah cukup untuk bersaing. Jangan juga terlalu naif sehingga beranggapan bahawa pelanggan akan setia kepada mereka.

“Sebaliknya, mereka harus sentiasa bersaing dan memahami cita rasa pengguna yang mahukan benda baharu,” katanya.

Tambahnya, kemunculan TRX merupakan  satu tanda amaran kepada pusat membeli-belah lain untuk berubah dari segi pengubahsuaian bangunan, usaha menarik peniaga dan melakukan promosi.

Sementara itu, pemerhati hartanah berkaitan pusat membeli-belah, Vicky How berkata, kejayaan TRX Mall adalah didorong oleh statusnya sebagai pusat kewangan yang mengumpulkan banyak golongan berada.

Katanya, keadaan itu seterusnya menarik kemasukan jenama antarabangsa ke TRX Mall kerana mereka mengintai perbelanjaan daripada golongan kaya yang berada di situ.

“Dengan mengumpulkan kumpulan yang kaya dalam satu kawasan, sudah tentunya orang di situ mempunyai kemampuan berbelanja yang tinggi.

“Jenama mewah susah pastinya juga mahu bertapak di TRX untuk mendapat keuntungan daripada golongan berada ini,” katanya kepada Nanyang Siang Pau.

Vicky menjangkakan TRX berada di landasan betul untuk meneladani kejayaan Canary Wharf di London yang bertransformasi daripada pelabuhan terbiar menjadi pusat perniagaan terkemuka.

Katanya, Merdeka 118 dijangka sukar bersaing dengan TRX dari segi implikasi kegiatan komersial dan pelancongan.

Jelasnya, TRX adalah berlainan dengan Merdeka 118 kerana TRX berstatus pusat kewangan dan institusi-institusi kewangan berebut untuk menyewa.

“Merdeka 118 pula cenderung kepada ekonomi dan perdagangan. Jika penyewa berskala besar berpindah keluar pada masa depan, maka penggantinya mungkin sukar dicari,” katanya. – MalaysiaGazette