KUANTAN – Seorang kontraktor maut apabila kenderaan yang dipandunya terpelosok di belakang sebuah lori dalam kejadian dekat sini, petang tadi.
Ketua Polis Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, nahas itu berlaku pada jam 2.15 petang di Kilometer 213.5, Lebuhraya Pantai Timur (LPT1) arah Gambang ke Kuala Lumpur.
“Kejadian berlaku apabila pemandu kereta yang bergerak lurus dari arah Kuala Terengganu menghala ke arah Kuala Lumpur, dalam cuaca hujan tiba-tiba hilang kawalan dan melanggar bahagian belakang lori yang diletakkan di lorong kecemasan kerana mengalami kerosakan,” katanya.
Akibat kemalangan tersebut, mangsa Mohd Hanizul Ahmad, 64, meninggal dunia di tempat kejadian.
Manakala pemandu lori pula mengalami kecederaan di leher dan masih menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).
“Kelindan lori tidak mengalami sekarang kecederaan.
“Mayat warga emas itu dibawa ke HTAA bagi proses bedah siasat dan kes masih dalam siasatan lanjut di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutuan Jalan (APJ) 1987. – MalaysiaGazette