Gambar hiasan

PASIR SALAK – Seorang lelaki ditemukan lemas di lombong dekat Sungai Galah di Sungai Kinta, dekat Kampung Gajah, di sini, awal pagi tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, mayat yang belum dikenalpasti itu ditemui selepas dihanyutkan sejauh 20 kilometer (km) dari lokasi kali terakhir mangsa dilihat.

Menurutnya, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kampung Gajah menerima panggilan daripada polis berhubung penemuan mayat terapung itu pada jam 9.30 malam tadi dan jentera tiba di lokasi kira-kira 20 minit kemudian.

“Kita terima maklumat daripada pihak polis dipercayai terdapat satu mayat terapung di permukaan air Sungai Kinta dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan namun mayat tersebut tidak dijumpai di sekitar kawasan yang dimaklumkan oleh pihak polis.

“Pasukan penyelamat menemui mangsa 20 kilometer dari lokasi mangsa terakhir dilihat dalam keadaan terapung di tepi sungai pada jam 2.20 pagi tadi.

“Mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan pagi ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintenden Hafezul Helmi Hamzah mengesahkan penemuan mayat tersebut.

“Setakat ini identiti mangsa masih belum dikenal pasti lagi,” katanya ketika dihubungi pagi ini. – MalaysiaGazette