Gambar hiasan.

GOMBAK – Suasana ceria dan meriah Batu Caves sempena Thaipusam yang disambut oleh penganut agama Hindu di negara ini menarik perhatian pelancong asing.

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati Kuil Sri Subramaniyar Swamy di Batu Caves bertali arus dikunjungi pelancong sejak dari pagi.

Pasangan warga Romania yang mahu dikenali sebagai Alina dan Sergiu berkata, ini merupakan kali pertama mereka menyaksikan sambutan yang begitu unik.

Alina dan Sergiu.

“Saya pernah dengar tentang sambutan Thaipusam di Malaysia. Sejak saya berada di sini, saya tidak mahu melepaskan peluang untuk menyaksikan bagaimana sambutan ini diraikan.

”Saya merasa sangat teruja melihat beberapa penganut membawa pelbagai jenis kavadi dan pengalaman menyaksikan sambutan Thaipusam ini menjadi sesuatu yang baru buat saya.

”Saya juga akan ke Malaysia tahun depan bagi menyaksikan sambutan yang menarik ini,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette, hari ini.

Carolin dan pasangannya.

Sementara itu, Carolin, 34, dari Itali pula berkata, beliau dan pasanganya datang dari Cameron Highlands semalam untuk menyaksikan persediaan bagi sambutan yang bakal berlangsung hari ini.

”Kami datang dari luar negara dan tidak pernah menyaksikan sambutan seperti ini kerana di Itali perayaan ini tidak diraikan seperti di Malaysia.

“Pada saya perayaan ini baharu bagi saya dan berada di sini membolehkan saya mengenali budaya unik Malaysia,” katanya yang menyifatkan peluang menyaksikan Thaipusam dengan perarakan membawa kavadi dengan iringan muzik tradisional sebagai pengalaman menarik.

Manakala Richard dari Amerika Syarikat, berkata, beliau dan rakan-rakan teruja melihat bagaimana pembawa kavadi menjunjungnya di atas bahu sambil mengiringi rentak lagu yang dimainkan dan turut menaiki 272 anak tangga dalam cuaca begitu panas.

“Ini adalah suatu pengalaman budaya yang baru bagi saya dan saya juga sangat suka melihat kavadi yang dihias dalam pelbagai reka bentuk dengan penuh berwarna- warni,” ujarnya.

Sementara itu, Rani, dari United Kingdom berkata, dia tidak melepaskan peluang menaiki tangga ke kuil yang terletak di dalam gua kerana pertama kali menyaksikan sesuatu tempat yang sebegini.

Sambutan Thaipusam merupakan satu perayaan agama yang disambut oleh masyarakat beragama Hindu di seluruh dunia semasa bulan penuh Tamil yang dipanggil ‘Thai’ bagi menghormati dewa Murugan. –  MalaysiaGazette