KUALA LUMPUR – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menandatangani memorandum perjanjian (MoA) lanjutan dengan Lancaster University, United Kingdom bagi mengukuhkan jalinan kerjasama dalam sektor pendidikan kedua-dua negara.
Perjanjian lanjutan yang ditandatangani menerusi inisiatif Fakulti Pendidikan dengan kerjasama Pusat Pembentukan Pendidikan Lanjutan dan Profesional (UKMShape) ini bertujuan untuk pelaksanaan ijazah dual (dual degree) di peringkat sarjana dalam bidang
Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa kedua (TESL) dan Linguistik Gunaan (Applied Linguistics).
Menurut Naib Canselor, Prof. Datuk Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman, kerjasama ini merupakan satu peluang bermakna kepada pelajar kerana meskipun fokus pembelajaran adalah bahasa Inggeris dalam konteks bahasa kedua, pelajar akan turut didedahkan kepada persekitaran bahasa Inggeris sebagai bahasa pertama di United Kingdom.
“Kolaborasi ini juga bakal meningkatkan keserlahan UKM di peringkat antarabangsa dalam bidang Pendidikan TESL dengan pengetahuan kandungan Linguistik secara langsung dari pakar bahasa di Lancaster University. Dengan memanfaatkan kepakaran ahli akademik dan penyelidik tersohor dari Lancaster University, UKM dapat melahirkan graduan tempatan yang berdaya saing di peringkat global.
“Beberapa aktiviti pendidikan dan pengajaran telah dijalankan seperti persidangan antarabangsa, lawatan penyelidikan dan penganjuran International Summer School with TESOL Component,” katanya.
Tambahnya lagi, kerjasama antara kedua-dua institusi ini telah bermula pada tahun 2021.
Inisiatif ini sejajar dengan seruan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir untuk mengantarabangsakan pendidikan negara bagi memastikan sistem pendidikan tinggi Malaysia berkualiti di persada antarabangsa.
“Perjanjian ini akan membawa impak besar kepada negara, terutamanya kepada Kementerian Pendidikan Tinggi dan UKM, yang akan memperkasa agenda pengantarabangsaan universiti.
“Inisiatif ini menunjukkan komitmen UKM dalam memperkukuh hubungan antarabangsa dalam bidang pendidikan tinggi dan menyumbang kepada pembangunan ilmu pengetahuan dan teknologi global,” katanya. – MalaysiaGazette