KUALA LUMPUR – Jumlah mangsa banjir terus meningkat kepada 3,323 orang daripada 1,016 keluarga setakat enam pagi ini berbanding 3,128 orang daripada 958 keluarga di empat negeri malam tadi.
Berdasarkan laporan Pusat Kawalan Bencana Negara Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), mangsa banjir di Terengganu meningkat kepada 1,760 orang daripada 498 keluarga berbanding 1,635 orang daripada 458 keluarga malam tadi.
Sebanyak 31 pusat penempatan sementara (PPS) beroperasi di Terengganu termasuk 15 di daerah Besut yang menempatkan 686 mangsa, Dungun (lima PPS, 576 mangsa), Hulu Terengganu (lima PPS, 316 mangsa) dan Setiu (enam PPS, 182 mangsa).
Menurut laporan bencana itu, terdapat tiga PPS yang diaktifkan di Kota Tinggi, Johor bagi melindungi 262 orang daripada 60 keluarga berbanding 192 orang daripada 42 keluarga malam tadi.
Sementara itu, jumlah mangsa banjir di Kelantan kekal 836 orang daripada 257 keluarga yang berada di 15 PPS termasuk Tanah Merah (tujuh PPS, 242 mangsa), Kuala Krai (lima PPS, 226 mangsa), Pasir Puteh (dua PPS, 350 mangsa) dan sebuah PPS di Machang menempatkan 18 mangsa.
Jumlah mangsa banjir di Pahang juga tidak berubah iaitu 836 orang daripada 257 keluarga sejak malam tadi yang berlindung di sebuah PPS di daerah Kuantan.
Dalam pada itu, tinjauan situasi di Stesen Telemetri Jabatan Pengairan dan Saliran mendapati beberapa sungai berada pada paras bahaya di Terengganu, Pahang, Johor, Kedah, Perlis, Selangor dan Sabah.
Di Terengganu, sungai terlibat ialah Sungai Terengganu di Hulu Terengganu, Sungai Dungun dan Sungai Besut, manakala di Pahang membabitkan Sungai Pahang (Pekan, Kuantan, Raub, Maran dan Cameron Highlands) serta Sungai Rompin.
Turut berada pada paras bahaya ialah Sungai Johor di Kota Tinggi (Johor) serta Sungai Sarang Buaya, Sungai Muda dan Sungai Kedah di Kota Setar (Kedah), Sungai Arau (Perlis), Sungai Klang, Petaling (Selangor) dan Sungai Kinabatangan (Sabah).
NADMA turut memaklumkan 18 jalan ditutup akibat banjir, jambatan rosak, jalan dan cerun runtuh, antaranya di Jalan Bukit Jugra di Kuala Langat, Selangor; Lebuhraya Kuantan-Segamat (Lebuhraya Tun Razak) di Pekan, Pahang dan Jalan Lingkaran Kahang Barat di Kluang, Johor. – BERNAMA