Konsert Fenomena Datuk Sri Siti Nurhaliza Live In Singapore bakal diadakan pada 29 Jun depan.

KUALA LUMPUR – Penghibur nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nuhaliza sekali lagi mencatat sejarah apabila tiket Konsert Fenomena Datuk Seri Siti Nurhaliza Live In Singapore yang bakal diadakan pada 29 Jun depan habis terjual dalam tempoh kurang dua jam.

Ketua Pegawai Eksekutif SAH Entertainment yang juga penganjur konsert penyanyi Sufi Rashid berkata, pihaknya tidak menjangka tiket konsert habis dalam waktu yang singkat.

“Alhamdulillah, terima kasih kepada semua peminat setia Datuk Sri Siti Nurhaliza. Anda memang terbaik.

“Difahamkan, ketika jualan tiket mula dibuka seramai 4,000 yang sudah menunggu dalam talian. Secara keseluruhan sehingga tiket habis dijual ada dalam 8,000 yang menunggu. Sampai sistem pun jadi sangkut,” katanya di media sosial.

Sementara itu, Siti dalam catatan ringkas di Instagram meluahkan kesyukuran atas perkembangan itu.

“Alhamdulillah, tiket konsert di Singapura sudah habis terjual. Kita jumpa di Konsert Fenomena nanti,” katanya.

Terdahulu, pada Disember lalu tiket Konsert Sebuah Epitome Saya Siti Nurhaliza habis terjual dalam masa dua jam selepas kaunter pembelian dibuka.

Konsert Sebuah Epitome Saya Siti Nurhaliza akan berlangsung pada 9 Mac depan di Axiata Arena, Bukit Jalil. – MalaysiaGazette