Najib Razak
Kebajikan penjawat awam lebih terbela sepanjang sembilan tahun Najib Razak menjadi Perdana Menteri dahulu. - Gambar fail

KUALA LUMPUR – Kadar pertumbuhan saiz aset Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) yang kurang memberangsangkan selepas 2017 dikatakan memberi tekanan kepada kerajaan untuk meneruskan skim pencen kepada penjawat awam baharu.

Penganalisis politik, Lim Sian See berkata, kadar kenaikan tahunan saiz aset KWAP cuma 4.4 peratus sahaja selepas kerajaan Barisan Nasional (BN) ditumbangkan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Katanya, jumlah aset KWAP pada akhir 2022 adalah RM175 bilion sahaja berbanding RM140.8 bilion yang diwariskan oleh pentadbiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Menurut beliau, sebelum Najib menjadi Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, saiz aset KWAP pada akhir 2008 cuma sebanyak RM52.04 bilion namun ia meningkat pada kadar 12 peratus tahun selepas itu sehingga 2017.

“Kenaikan hampir 300 peratus dalam tempoh sembilan tahun berbanding kenaikan 24 peratus dalam tempoh lima tahun.

“Dan ia hanya disasar naik ke RM200 bilion sahaja pada akhir 2025 berbanding RM348.62 bilion sekiranya kadar kenaikan 12 peratus masa Najib dikekalkan,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Kelmarin, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan bahawa Kabinet bersetuju perjawatan bagi penjawat awam baharu berstatus tetap selepas ini adalah tidak berpencen.

Banyak pihak termasuk Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) dan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr. Akmal Saleh mempersoalkan langkah mengejut kerajaan itu.

Sian See memberitahu, KWAP amat penting untuk menjaga pencen semua penjawat awam pada masa mendatang dan ia ditubuhkan bagi membantu pembiayaan liabiliti pencen Kerajaan Persekutuan.

Beliau menambah, KWAP perlu mencapai pertumbuhan dan saiz yang besar agar kerajaan pada masa depan tidak terbeban dengan keperluan membayar pencen dan juga membuka jalan untuk menaikkan pencen kelak hari.

“Namun, ramai termakan tuduhan bahawa Najib curi duit pencen KWAP dengan SRC International.

“Tapi realitinya adalah Najib telah menaikkan nilai aset KWAP dengan kadar pertumbuhan yang paling tinggi dalam sejarah,” jelasnya.

Sian See berpandangan, kadar kenaikan aset KWAP jatuh mendadak selepas PRU14 kerana setiap kerajaan selepas pentadbiran Najib telah mengambil keluar RM5 bilion setiap tahun daripada tabung persaraan itu.

“Masa zaman Najib, kerajaan tak pernah ambil satu sen pun malah kerajaan akan sumbang lebih banyak kepada KWAP,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, kelembapan ekonomi dan pasaran saham selepas PRU14 turut menyebabkan prestasi pertumbuhan aset KWAP menjadi kurang memberangsangkan. – MalaysiaGazette