KUANTAN – Seramai 38,000 pengguna dari golongan B40 akan menerima manfaat daripada skim Rebat Air Makmur (RAM) yang diperkenalkan kerajaan negeri Pahang berikutan pelarasan tarif air.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, skim tersebut melibatkatkan impikasi sebanyak RM4.6 juta setahun.
”Pemberian air secara percuma bagi golongan B40 terlibat yang menggunakan air tidak melebihi 12 meter padu sebulan.
”Tiada kenaikan caj bayaran dikenakan bagi golongan B40 terlibat yang menggunakan air di antara 13 meter padu hingga 24 meter padu sebulan.
”Kenaikan minima bagi golongan B40 terlibat yang menggunakan air 25 meter padu dan ke atas sebulan menerusi pemberian Rebat Air Makmur ialah RM10 sebulan,” katanya.
RAM melibatkan golongan B40 dalam kumpulan penerima Bantuan e-Kasih, penerima Bantuan i-Damak dan penghuni Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) serta Rumah Rakyat Pahang (RRP).
Pada 17 Januari lalu, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mengumumkan pelarasan tarif air yang akan dilaksanakan di bawah Mekanisme Penetapan Tarif bagi pengguna kategori domestik di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan, berkuat kuasa 1 Februari ini.
SPAN berkata, pelarasan tarif air domestik melibatkan kenaikan purata sebanyak 22 sen bagi setiap meter padu. – MalaysiaGazette