TEMERLOH – “Tok Wan dapat sambung belajar dan berjaya hari ini kerana doa ibu bapa bukanlah disebabkan Tok Wan sangat,” ujar Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Demikian titipan Wan Rosdy yang membahasakan diri sebagai Tok Wan kepada 70 calon Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) di Sekolah Menengah Kebangsaan Lanchang di sini semalam.
”Kedua, saya berjaya disebabkan oleh kerajaan, ini kerana kerajan mewujudkan ITM yang kini dikenalai Universiti Teknologi MARA (UiTM).
”Tok Wan boleh duduk di sini kerana Tok Wan belajar. Tidak boleh duduk kerusi MB, kalau tak belajar memang tak boleh, jadi anak-anak kena belajar.
”Doa ibu bapa jangan lupa, sekolah yang selesa juga penting untuk pelajar selain peranan pengarah pelajaran bagi memastikan guru-guru dan pelajar mendapat akses yang sempurna,” katanya lagi.
Beliau juga menasihati pelajar belajar bersungguh-sungguh dan menjawab soalan SPM 2023 ini sehingga berjaya melanjutkan pelajaran ke menara gading.
Wan Rosdy berharap mereka sudah berjaya kemudian kembali berbakti ke negeri dan tanah air sendiri apabila sudah menamatkan pengajian nanti.
”Anak-anak jangan tinggal sembahyang, belajarlah bersungguh-sungguh.
”Ijazah saya sains politik, dapat buat ijazah dapat kerja elok jaga rakyat ini sebab ibu bapa dan kerajaan, dapat peluang buat diploma dan sambung belajar lagi.
”Tok Wan suka sesuatu yang benda boleh ukur, kita dengan anak buah boleh ukur prestasi, jadi siapa dapat 7A ke atas, Tok Wan beri RM50 setiap mata pelajaran yang dapat A. Hanya sekolah ini dapat sumbangan peribadi Tok Wan,” katanya.
Pada majlis itu, Wan Rosdy mengucapkan tahniah kepada para pendidik yang turut menunjukkan kegigihan mereka dalam memastikan anak-anak semua mendapat ilmu untuk meraih kejayaan seperti hari ini.
”Tidak dilupakan juga sokongan, doa, semangat dan dorongan daripada semua ibu bapa pelajar, syabas dan tahniah diucapkan. Mereka inilah sebenarnya tulang belakang kejayaan anak-anak pada hari ini.
”Tanpa mereka, siapalah kita. Kepada para pelajar, hargailah setiap keringat dan pengorbanan ibu bapa demi memastikan kejayaan anak-anak pada hari ini dan hari-hari yang akan datang,” katanya ketika majlis serahan alat tulis berkenaan.
Sementara itu, katanya, usaha pemberian kit alat tulis kepada 20,270 calon SPM adalah tanda ingatan tulus kepada golongan itu yang berbentuk sokongan moral semata-mata.
”Setiap hari kerajaan negeri akan fikirkan apa kita boleh bantu rakyat. Sebab setelah lima tahun kita fikir juga bagaimana nak bantu anak-anak kita kita nak ambil peperiksaan SPM.
”Walaupun nilainya RM10 tapi keseluruhannya lebih RM200,000. Ini tanda ingatan tulus ikhlas daripada kerjaaan negeri dan ini suntikan semangat dan insya-Allah dapat bantu mereka lagi,” katanya. – MalaysiaGazette