KUALA LUMPUR – Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 1 akan mula dibayar kepada hampir sembilan juta penerima Isnin depan.
Kerajaan telah menaikkan bayaran STR Fasa 1 sehingga RM500 kepada isi rumah berbanding bayaran maksimum sebanyak RM300 pada tahun lalu.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, peruntukan bagi Fasa 1 telah bertambah sebanyak 26 peratus kepada RM2.1 bilion daripada RM1.67 bilion pada tahun lepas.
Peningkatan tersebut sebagai usaha untuk membantu sebilangan besar rakyat menangani peningkatan kos sara hidup.
“Setiap kali saya ketemu rakyat, perihal utama diutarakan adalah beban kos sara hidup yang kian meningkat lebih deras daripada pendapatan.
“Saya akur akan keperitan ini, justeru kerajaan giat berusaha untuk memastikan bantuan Kerajaan dapat dipertingkat dengan lebih ketara agar masalah asas ini dapat dileraikan dan tiada rakyat dibelakang di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI,” Anwar dalam kenyataan.
Pembayaran STR Fasa 1 untuk penerima yang berdaftar di dalam pangkalan data STR akan dikreditkan ke dalam akaun bank atau disalurkan secara tunai melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) secara berperingkat-peringkat mengikut kategori kelayakan.
“Selaras dengan pendekatan Ekonomi MADANI untuk ‘meninggikan lantai’ dari segi kualiti hidup rakyat, kerajaan akan mengutamakan dan memastikan isi rumah berpendapatan rendah terus diberi bantuan sewajarnya.
“Kerajaan MADANI sentiasa peka kepada keluhan rakyat dan akan terus menambahbaik STR dalam usaha membantu rakyat dalam mendepani cabaran kos sara hidup,” kata Anwar.
Seramai 8.2 juta individu yang layak telah berdaftar untuk STR 2024.
Bagaimanapun angka ini dijangka naik ke hampir 9 juta bagi tahun ini mengambil kira proses permohonan baharu dan kemas kini dibuka sepanjang tahun berbanding setahun sekali sebelum ini. – MalaysiaGazette
Adakah saya mendapatkn str fasa1