Lebih dua juta penduduk Gaza bergantung kepada UNRWA untuk meneruskan kelangsungan hidup mereka. Foto UNRWA

LONDON – Enam negara Eropah menghentikan sementara pembiayaan untuk agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk Palestin (UNRWA) susulan dakwaan bahawa beberapa kakitangannya terlibat dalam serangan Hamas 7 Oktober tahun lalu ke atas Israel.

Britain, Jerman, Itali, Belanda, Switzerland dan Finland menyertai Amerika Syarikat, Australia dan Kanada dalam menghentikan sementara pembiayaan kepada agensi bantuan itu, selepas dakwaan dibuat oleh Israel.

Agensi itu berkata, pihaknya telah membuka siasatan ke atas beberapa pekerja dan memutuskan hubungan dengan mereka.

Menteri Luar Israel Israel Katz berkata, UNRWA harus diganti sebaik sahaja pertempuran di kawasan semenanjung itu dihentikan dan mendakwa UNWRA mempunyai hubungan dengan pejuang di Gaza.

“Dalam pembinaan semula Gaza, @UNRWA mesti digantikan dengan agensi yang berdedikasi untuk keamanan dan pembangunan tulen,” tambahnya di X.

Timbalan jurucakap PBB Farhan Haq, ditanya mengenai kenyataan Katz berkata: “Kami tidak bertindak balas terhadap retorik.

“UNRWA secara keseluruhan mempunyai rekod yang kukuh, yang telah berulang kali kami tegaskan,” ujarnya.

Philippe Lazzarini, Pesuruhjaya Agung UNRWA berkata, keputusan sembilan negara itu mengancam kerja-kerja kemanusiaannya di seluruh rantau ini, terutama di Gaza.

“Sungguh mengejutkan apabila melihat penggantungan dana kepada UNWRA dibuat hanya disebabkan dakwaan terhadap sekumpulan kecil kakitangan, sedangkan tindakan segera yang diambil UNRWA dengan menamatkan kontrak mereka dan meminta siasatan bebas dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan. .

UNRWA sentiasa menolak tuduhan serupa pada masa lalu dan mengekalkan ia adalah agensi bantuan dan kemanusiaan.

Kementerian luar Palestin mengkritik apa yang disifatkannya sebagai kempen Israel terhadap UNRWA, dan Hamas mengutuk penamatan kontrak pekerja “berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada musuh zionis”. – Agensi