Dalam satu perkongsian, UNRWA berkongsi foto memperlihatkan penduduk Gaza terpaksa bergantung sumbangan makanan dari luar.

GAZA CITY – Agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk Palestin (UNRWA) berkata, 2 juta nyawa di Gaza bergantung kepada sumbangan daripada negara luar dengan kebuluran menjadi ancaman utama.

Dalam satu kenyataan di media sosial, agensi itu melahirkan kebimbangan beberapa negara pembiaya akan menarik balik atau menyemak sumbangan kepada UNRWA.

“UNRWA ialah agensi kemanusiaan utama di Gaza, dengan lebih 2 juta orang bergantung kepadanya untuk kelangsungan hidup mereka,” kata agensi itu dalam catatan media sosial.

UNRWA berkata, ia menyediakan perlindungan untuk kira-kira 1 juta orang yang kehilangan tempat tinggal, termasuk di bangunan sekolahnya, serta makanan dan bantuan lain.

Media sebelum ini melaporkan, sembilan negara Eropah telah mengumumkan untuk mengantung sementara pemberian dana kepada agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk Palestin (UNRWA).

Negara terbabit adalah Australia, Kanada, Finland, Jerman, Itali, Belanda Switzerland, United Kingdom dan Scotland.

Scotland menjadi negara terkini mengantung pembiayaan tersebut dengan nyatakan “sangat bimbang” dengan dakwaan Israel bahawa kakitangan UNRWA mengambil bahagian dalam serangan Hamas.

Tindakan itu diambil selepas Amerika Syarikat mengumumkan untuk menghentikan sementara pembiayaan kepada UNRWA atas dakwaan bahawa beberapa kakitangan agensi itu terlibat dalam serangan Hamas 7 Oktober tahun lalu ke atas Israel.

Sementara dua negara iaitu Ireland dan Norway berkata, mereka merancang untuk terus menyokong UNRWA.

Ketua PBB Antonio Guterres merayu agar negara penderma “menjamin kesinambungan” agensi pelarian Palestin UNRWA.

“Walaupun saya memahami kebimbangan mereka – saya sendiri berasa ngeri dengan tuduhan ini – saya sangat merayu kepada kerajaan yang telah menggantung sumbangan mereka untuk, sekurang-kurangnya, menjamin kesinambungan operasi UNRWA,” kata Guterres dalam satu kenyataan.

“Perbuatan keji yang didakwa oleh kakitangan ini mesti ada akibatnya. Tetapi berpuluh-puluh ribu lelaki dan wanita yang bekerja untuk UNRWA, kebanyakannya dalam beberapa situasi paling berbahaya bagi pekerja kemanusiaan, tidak harus dihukum,” tambahnya.

“Keperluan teruk penduduk terdesak yang mereka berkhidmat mesti dipenuhi.”

Guterres mengesahkan 12 kakitangan UNRWA telah disebut dalam tuduhan itu sedang disiasat oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.-Agensi